BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

Barisan Panel,

 

Soalan pertama:

Kitab fiqh Syafii yang peringkat tinggi dan muktamad, adakah wujud istilah Watn Asli (وطن الاصلي) (Kampung halaman yang mengugurkan rukhsah Solat Jamak dan Qasar). Oleh sebab dalam mausu'ah fiqhiyyah kuwaitiyah ada disentuh namun saya tidak pasti dari pandangan Syafi'iyah atau Hanafiyyah. Sekieanya wujud, apakah definisi Watn Asli dari sudut Syafi'iyah? Begitu juga adakah Hurmat al-Musaaharah (حرمة المصاهرة) dalam mazhab Syafi'i

 

Soalan Kedua

Abu merupakan seorang penjawat awam (sentiasa bertukar pejabat/jabatan setiap lebih kurang 5 tahun) memiliki sebuah rumah yang dibeli di Shah Alam. Abu bukan berasal dari Shah Alam. Sekarang Abu bekerja di Sabak Bernam yang mendiami kuarters. Jika Abu pergi ke Shah Alam untuk urusan rasmi seperti mesyuarat atau kursus (tempoh kurang dari 5 hari termasuk hari pergi dan pulang iaitu dikira musafir), Abu akan singgah rumahnya di Shah Alam atau bermalam. Oleh itu Abu adakah diberi rukhsah untuk solat Jamak dan Qasar sepanjang di Shah Alam? Buat masa ini, sekiranya pencen, Abu juga masih belum pasti akan menetap di Shah Alam atau tidak. Adakah Shah Alam dikira Watn Asli?

 

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Jawapan pertama:

Istilah watan asli hanya wujud dalam mazhab Hanafi yang membawa maksud tempat kelahiran seseorang. Mazhab Syafi'i menggunakan istilah mastautin sebagaimana yang dapat dilihat dalam kitab Hasyiah I'anah al-Tolibin:

بيان لمعنى المتوطن، يعني أن المتوطن هو الذي لا يسافر صيفا ولا شتاء من محل إقامتها إلا لحاجة

Maksudnya: Mastautin ialah orang yang tidak berpindah daripada tempat itu sama ada pada musim panas atau musim sejuk dan hanya keluar daripada kawasan mukimnya untuk keperluan sahaja.

Oleh itu, mereka yang tidak ada niat untuk berpindah daripada rumahnya adalah dianggap telah bermastautin di sesuatu tempat. Tempat mastautin seseorang boleh berubah mengikut keadaan semasa seseorang tersebut.

Manakala istilah Hurmat al-Musaaharah (حرمة المصاهرة) ada dalam mazhab Syafi'i dan juga mazhab-mazhab lain. Ia merujuk kepada mahram yang disebabkan oleh perkahwinan (persemendaan) seperti ibu mertua, anak tiri dan sebagainya.

 

Jawapan kedua:

Sesuatu tempat akan dianggap sebagai tempat mastautin jika dia menetap di tempat tersebut tanpa berniat untuk berpindah. Dalam situasi yang disebutkan, Shah Alam tidak dianggap sebagai tempat mastautin kerana Abu sendiri tidak pasti sama ada dia akan menetap di situ atau tidak. Oleh itu, sekiranya dia singgah di Shah Alam sebentar dalam tempoh musafir, Abu boleh melakukan jamak dan qasar.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 133

message user image