BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan,

Saya ada pertanyaan, pertama..sedikit yang saya tahu, cukai yang dikenakan daripada perniagaan juga merupakan hasil kepada negara. Pertanyaan saya merangkumi kait dengan konflik yang berlaku antara Palestine dan Israel,

Menurut pandangan pihak jabatan mufti, sekiranya terdapat perniagaan yang berbentuk franchise yang juga dimiliki oleh orang Malaysia, adakah wajar untuk kita memboikot sekiranya produk perniagaan yang dijalankan tersebut asal nya daripada negara-negara yang menyokong Israel. Contohnya, Mcdonald, Starbucks, dll daripada Amerika. Hal ini dikaitkan kerana, umumnya saya berpendapat, perniagaan yang berbentuk Franchise mempunyai kebarangkalian untuk dikenakan bayaran royalti kepada syarikat asal tersebut.

Tambahan, adakah yahudi juga dianggap sebagai musuh Allah?

Minta pencerahan daripada pihak tuan/puan, Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Memboikot sesuatu barangan atau produk merupakan salah satu tindakan berbentuk protes terhadap kegiatan ekonomi sesebuah negara. Walau bagaimanapun, tindakan memboikot ini perlulah dibuat berdasarkan ilmu agar sasaran boikot tersebut kena pada sasarannya iaitu Israel dan sekutunya serta tidak menyebabkan ekonomi sesuatu syarikat yang tiada kena mengena dengannya runtuh. Apabila sesebuah syarikat itu telah dimiliki 100% oleh umat Islam, masyarakat perlu berhati-hati dalam melaksanakan tindakan ini kerana tersilap sasaran boleh menyebabkan runtuhnya sebahagian ekonomi umat Islam yang juga berperanan membayar zakat kepada rakyat Malaysia dan memberikan peluang pekerjaan yang banyak kepada umat Islam. Namun, sekiranya sesebuah syarikat itu secara terang-terang mengisytiharkan sokongan mereka kepada Israel dan sekutunya, maka masyarakat mesti membantah dan memboikot syarikat tersebut. Perkara ini memerlukan kepada penelitian oleh badan berautoriti terhadap proses Franchise yang dilakukan serta memastikan wang tersebut benar-benar sampai kepada pihak musuh sebelum memboikot.

Kaum Yahudi merupakan musuh Allah SWT dan ia telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Fatihah ayat 7:

 صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Maksudnya: Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Menurut ahli tafsir, jalan-jalan yang Engkau murkai yang dimaksudkan dalam ayat ini merujuk kepada kaum Yahudi. Selain itu, terdapat beberapa ayat lain di dalam al-Quran yang menyatakan sedemikian. Namun, tidak dinafikan ada sebahagian daripada orang Yahudi yang berkelakuan baik. Mereka ini tidak dapat mengubah fakta yang disebutkan oleh Allah SWT bahawa majoriti kaum mereka bertindak zalim seperti membunuh para Nabi dan lain-lain.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 120 mengenai sikap orang Yahudi yang sentiasa memusuhi Nabi Muhammad SAW termasuklah umatnya:

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

Bermaksud: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 62

message user image