BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum ya Ustaz, saya mempunyai satu soalan berkaitan dengan ilmu mengenali diri sendiri berasaskan 'human design'

baru- baru ini, ketika sedang asyik mengunakan tiktok, saya telah menonton satu video berkaitan 'human design'. Secara ringkasnya saya nyatakan human design ini adalah satu pengetahuan/ilmu berkaitan dengan penggunaan tarikh lahir, tempat lahir dan masa yang tepat sewaktu dilahirkan yang seterusnya membolehkan ahli yang menjalankan teknik tersebut untuk mengenali ciri-ciri yang ada pada pelanggan dan seterusnya memberi panduan kepada  pelanggan itu untuk membuat keputusan berasaskan kerjaya yang patut dipilih, pasangan yang patut dipilih dan mengenali diri sendiri. Human design ini juga dikatakan berbeza dengan ilmu astrologi yang mana dalam pemahaman saya ianya haram.


Apabila saya melihat kandungan tersebut, saya dapati ramai pengguna yang melanggan perkhidmatan tersebut dan memberikan komen yang positif. 
 

saya berada di fasa tidak pasti kerana saya juga mempunyai masalah dalam bidang pekerjaan dan juga pemilihan pasangan untuk berkahwin dan turut mempunyai keinginan untuk melanggan perkhidmatan tersebut. Namun saya tidak mengetahui sama ada ilmu human design ini  halal disisi syarak ataupun tidak. Oleh itu penulisan saya ini adalah hasrat saya untuk bertanya kepada ustaz serta atas dasar kebimbangan akan akidah saya.

Jadi saya ingin bertanya, adakah haram untuk saya menggunakan khidmat tersebut? Dan mengapa ianya haram?

 

Jawapan dari pihak tuan saya dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Human Design adalah suatu ilmu bagi mengetahui personaliti, emosi dan pusat tenaga seseorang. Sebahagian tokoh menyamakannya dengan Personality Test yang mempunyai beberapa kaedah ujian bagi menguji personaliti seseorang. Human Design ini juga dikatakan adalah gabungan beberapa ilmu seperti ilmu astrologi dan lain-lain.

Berdasarkan pengamatan kami, Human Design ini mirip dengan Personality Test seperti yang diketahui dan diaplikasi oleh beberapa pakar motivasi dan ahli-ahli psikologi. Dapatan daripada ujian tersebut boleh mendedahkan beberapa maklumat seperti emosi seseorang, minat, sikap, kepimpinan dan lain-lain. Maklumat-maklumat yang didapati ini adalah hasil kajian ahli-ahlinya yang mengkaji mengenai tingkah laku manusia beserta tubuh badan manusia yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam. Seperti yang diketahui, Islam sangat menggalakkan umatnya membuat kajian dan mengkaji ilmu-ilmu Allah SWT yang luas di bumi ini. Malah, para ulama khususnya di tanah Melayu turut mempunyai ilmu-ilmu sedemikian seperti melihat kepada tangan seseorang, mimik muka dan sebagainya bagi mengetahui personaliti seseorang.

Walau bagaimanapun, perkara ini adalah hasil kajian dan tidak semestinya tepat secara realiti. Oleh itu, seseorang itu hendaklah yakin bahawa segala yang berlaku atas kehendak Allah SWT dan ia bukanlah suatu bentuk menilik masa hadapan yang dilarang dalam Islam. Ilmu-ilmu tersebut boleh dijadikan panduan tetapi bukan sesuatu yang pasti kerana ia melibatkan personaliti seseorang yang mungkin berubah disebabkan faktor-faktor tertentu seperti persekitaran, latar belakang pendidikan, keluarga dan sebagainya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 81

message user image