BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan


Assalamualaikum Ustaz, apakah hukum bekerja dengan syarikat yang memberi sumbangan kepada israel? Sumbangan tersebut disalurkan kepada persatuan Canadian Red Cross Middle East Humanitarian Crisis Appeal, United Jewish Appeal, American Friends of Magen David Adom dan Save the Children.

Sumbangan yang disalurkan kepada semua persatuan di atas adalah untuk bantuan kemanusiaan. Adakah kita haram bekerja dengan syarikat itu walaupun bantuan tersebut untuk kemanusiaan dan tidak menyatakan memberi sumbangan untuk ketenteraan (membeli senjata) ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan; Para ulama telah bersepakat tentang keharusan orang Islam melakukan urusan muamalat seperti menerima upah dari orang bukan Islam dan lain-lain kecuali dalam perkara yang dilarang syarak seperti perkara melibatkan arak, judi atau seumpama dengannya. Berdasarkan kepada kaedah:

الأصل في المعاملات الإباحة حتى يرد الدليل على خلافه

Maksudnya: Asal segala sesuatu dalam bidang muamalat ialah harus, sehingga adanya dalil yang menyanggahi dan mengharamkannya.

Oleh itu, bekerja di sesebuah syarikat atau organisasi bantuan kemanusiaan meskipun dikatakan berkaitan dengan sumbangan kemanusiaan ke Israel diharuskan. Namun, hukum pekerjaan ini boleh menjadi haram bagi orang Islam sekiranya mengetahui penglibatan diri mereka secara langsung mengurus atau berurusniaga dengan orang bukan Islam yang diketahuinya secara jelas akan mengancam agama Islam seperti menjual senjata kepada musuh Islam, membantu musuh Islam atau secara langsung membantu dalam urusan syiar mengembangkan agama lain serta kemungkaran.

Di Malaysia masih terdapat alternatif-alternatif lain yang boleh dipilih umat Islam untuk mencari sumber pendapatan. Maka dinasihatkan sekiranya mampu, mencari alternatif lain ini supaya dapat menghindarkan diri daripada perkara yang boleh membawa kepada perkara haram dan syubhah. Moga dapat mendatangkan lebih banyak kebaikan dan keberkatan dalam hidup.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 129

message user image