BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

assalamualaikum tuan/puan,

saya nak bertanyakan soalan berkaitan dengan masalah pada diri saya ketika nak qada solat.saya harap pihak jabatan mufti selangor sudi menjawab soalan saya ni.

saya ada masalah air mazi/wadi keluar tak menentu.

tapi selalu nya bila nak solat saya cek memang akan keluar la .

saya akan melapikkan kemaluan dengan tisu setiap kali nak solat fardhu.

nak mengaji pon saya guna henfon je sebab tak pasti boleh ke tak pegang al quran dalam keadaan ni.

soalan saya,adakah saya kena bersihkan kemaluan dan tukar dengan tisu yang baru setiap kali saya nak qada solat? seperti mana saya buat setiap kali nak solat fardhu sekrang.

mohon pencerahan,puas dah cari kat google  tak jumpa jawapan.terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Keluar air mazi dan air wadi termasuk dalam perkara yang dianggap sebagai hadas kecil yang boleh membatalkan wuduk. Maka seseorang yang keluar air mazi atau air wadi daripada kemaluannya perlu membersihkan kemaluan dan mengambil wuduk yang baru untuk menunaikan solat. Di samping itu, air mazi dan air wadi adalah kategori najis mutawassitah (pertengahan) dan jika terkena pada pakaian maka pakaian tersebut tidak boleh dibawa untuk solat dan wajib dibersihkan. Perihal air mazi ini seringkali dikaitkan berdasarkan hadis riwayat Saidina Ali Karramallahu Wajhah di mana beliau berkata:

كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِى فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ (ص) أَوْ ذُكِرَ لَهُ - فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ (ص) لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ

Maksudnya: Aku adalah seorang lelaki yang sentiasa keluar mazi, aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu lakukan seperti itu, jika kamu melihat mazi maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. Jika kamu mencurahkan air (mani) maka hendaklah kamu mandi. (Riwayat Abu Daud).

Justeru, merujuk kepada persoalan tuan,

Permasalahan ini boleh dikategorikan sama dengan mereka yang menghadapi kencing tidak lawas. Oleh itu, para fuqaha’ telah meletakkan beberapa garis panduan berwuduk:-

1. Perlu dibersihkan dahulu bahagian kemaluan dan kemudian ditutup bahagian kemaluan tersebut dengan kain atau seumpamanya agar titisan air kencing/mazi itu dapat dihalang dari terus menitis.

2. Segera berwuduk setelah berhati-hati dengan merasakan tidak lagi menitis air kencing/mazi selepas ianya ditutup dan wuduk tersebut perlulah diambil selepas masuknya waktu solat.

3. Wajib berwuduk bagi setiap solat fardu (wajib) dan wuduk tersebut boleh digunakan untuk beberapa solat sunat selepas solat fardu. Adapun untuk solat fardu berikutnya wajib perbaharui wuduk serta menggantikan kain atau alas yang menutup kemaluan.

4. Wajib segera menunaikan solat selepas berwuduk untuk mengurangkan hadas.

Oleh kerana solat qada adalah wajib (fardu) maka tuan mesti membersihkan kemaluan serta mengambil wuduk semula untuk setiap solat qada yang dilakukan mengikut kaifiat solat fardu.

Diharuskan untuk memegang dan membawa al-Quran untuk membacanya selepas mengambil wuduk seperti di atas walaupun dalam keadaan air mazi terkeluar selepas wuduk.

Semoga Allah SWT menyembuhkan penyakit yang dihadapi serta diberikan kesihatan yang berpanjangan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 152

message user image