BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Salam. 

Saya ingin bertanya, dahulunya saya di waktu remaja tidak lah sepenuhnya memahami ajaran islam. Dan kerana kurangnya pengetahuan dan kefahaman tentang ilmu dan adab dalam islam, saya telah melakukan banyak kesalahan dan ada beberapa perkara melibatkan halal haram. Ada kesalahan yang melibatkan dosa sesama manusia. Kesalahan itu berpunca daripada saya. Walaupun saya sedar kesilapan saya terhadap sesama manusia, dan telah pun berusaha memohon kemaafan, dan tidak dimaafkan.saya faham tidak semudah itu untuk dimaafkan. 

Yang menjadi persoalan saya adalah, saya sentiasa berasa berdosa dan rasa tidak layak untuk berdoa. Saya ada terbaca, doa tidak akan dimakbulkan kerana dosa kita. Saya berputus asa untuk berdoa, dan rasa ibadat saya sia-sia kerana dosa silam saya sesama manusia terlampau banyak. Saya masih menjaga beberapa ibadat wajib saya, tetapi saya tidak berdoa kerana banyak nya perkara dan dosa silam saya terdahulu yang menyebabkan saya rasa Allah tidak akan memberi kepada saya. Saya boleh katakan saya sudah tiada kekuatan untuk doa bersungguh sungguh kepada Allah. 

Bolehkah beri pandangan kepada saya


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Melakukan kesalahan adalah merupakan lumrah seorang manusia. Manusia yang baik adalah mereka yang sentiasa bertaubat daripada kesalahannya yang lampau dan tidak mengulanginya. Perkara ini disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat. (Riwayat Ibn Majah)

Seseorang pesalah yang telah bertaubat dengan sebenar-benarnya akan diampunkan oleh Allah SWT walau sebesar manapun dosanya. Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat 53:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ 

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah SWT adalah Maha Pengampun, berbeza dengan manusia yang kadangkala tidak dapat memaafkan kesalahan yang besar-besar atau kesalahan yang berulang-kali. Yakinlah bahawa Allah SWT sentiasa melihat keikhlasan kita dalam bertaubat dan kesediaan kita melakukan perubahan dalam hidup. Yang lebih penting adalah perbanyakkan ibadat pada masa kini dan hendaklah menjaga kewajipan-kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT serta tidak putus berdoa kepada-Nya. 

Adapun kesalahan kita terhadap orang lain, kita bertanggungjawab untuk memohon kemaafan daripadanya. Seandainya kemaafan telah diminta, maka serahkan segalanya kepada Allah SWT. Sama ada orang itu mahu memaafkan atau tidak itu di luar kemampuan kita. Apa yang boleh dilakukan adalah sentiasa berdoa agar Allah SWT membuka hatinya untuk memberikan kemaafan. Di samping itu, di antara usaha kita adalah dengan melakukan amalan soleh sepertimendoakan keampunan, bersedekah, membaca al-Quran, berselawat dan sebagainya dengan niat menghadiahkan kepada orang yang pernah kita sakiti atau zalimi. Mudah-mudahan pahala amalan tersebut dapat menebus kesalahan kita terhadapnya. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 171

message user image