Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, 1- Apakan hukum membuat rakaman TV di Masjid dan adakah terdapat panduan yang boleh digunakan? 2- Bagaimanakah pandangan pihak tuan berkaitan lakonan akad nikah yang diadakan dalam dewan solat utama Masjid? Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, masjid adalah tempat suci bagi agama Islam yang menjadi nadi kepada kekuatan ummah. Pengimarahan masjid merupakan suatu perkara yang luas definisinya yang ianya mengikut kesesuaian dan keperluann masyarakat dari masa ke semasa. Orang yang ikhlas dan bersungguh-sungguh mengimarahkan masjid disifatkan sebagai orang yang beriman kepada Allah S.W.T dan hari akhirat serta akan mendapat petunjuk dariNya. Firman Allah S.W.T di dalam Surah At Taubah ayat : 18 yang bermaksud, “Sesungguhnya hanyasanya yang layak memakmurkan rumah-rumah Allah (Masjid-masjid) itu adalah orang - orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk”. Hukum membuat rakaman television di dalam masjid adalah harus kerana tiada dalil atau nas khusus yang melarangnya, dengan syarat pihak terlibat hendaklah menjaga kesucian masjid dan menjaga adab-adab ketika berada di dalamnya, antaranya adalah; a) Semua pihak yang terlibat hendaklah berpakaian sopan dan menutup aurat dengan sempurna. b) Mengelak pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang bukan mahram. c) Tidak berbuat bising sehingga mengganggu konsentrasi ibadah orang lain. d) Tidak melakukan tindakan yang menyebabkan kerosakan harta benda dan kekotoran. e) Tidak bertengkar, berbual atau bercakap perkara yang melalaikan dan sia-sia. f) Menghormati waktu azan dan menunaikan solat fardhu secara berjama’ah. g) Tidak memainkan muzik di dalam dewan solat masjid. h) Tidak mempamer gambar atau iklan orang berpakaian yang tidak menutup aurat dengan sempurna dan tidak sopan. i) Tidak berada di dalam hadas besar atau haid. j) Tidak melakukan perkara - perkara lain yang bertentangan dengan syara’. Harus membuat lakonan di masjid samada lakonan akad nikah atau lakonan lain selagi mana memenuhi syarat di atas dan menjaga kesucian dan keagungan masjid. Jabatan ini amat menggalakkan rakaman lakonan atau kisah yang bertujuan untuk memberi keinsafan, pemahaman dan mendekatkan masyarakat kepada agama Islam. Pihak produksi juga dinasihatkan agar berbincang dengan pihak pengurusan masjid terlebih dahulu sebelum rakaman dibuat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.