Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya masih lg menggunakan credit card UOB yg telah di perolehi lebih 20 tahun dahulu. Sememangnya Saya akan melangsaikan bayaran sepenuhnya dan tidak pernah menggunakan priviledge bayaran secara ansuran.
Saya rasa serba salah sekarang. Adakah Saya berdosa. Baru2 ini Saya cuba apply islamic credit card tp memandangkan Saya sudah bersara, agak sukar utk dapat.
Sila bg pandangan tuan.
Sekian terima kasih
Jawapan
Secara asasnya terdapat 2 jenis kad kredit yang berada dalam pasaran, iaitu:
1. Kad kredit yang dikeluarkan oleh perbankan Islamik adalah patuh syariah dan ianya tiada isu sekiranya bayar lewat atau menepati waktu kerana akadnya yang patuh syariah.
2. Kad kredit yang dikeluarkan oleh perbankan konvensional adalah tidak patuh syariah kerana mempunyai unsur riba dan bersubahat dengan konvensional, sekalipun ia menawarkan 0% bunga jika mampu membayarnya. Kesatuan Fiqh Antarabangsa OIC dalam ketetapannya nombor 108, pada persidangan 23-28 September 2000 telah memfatwakan sebagai tidak harus.
Ini adalah kerana ia dianggap sebagai membantu di dalam perkara kemungkaran sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Maidah ayat 2:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Semoga Allah mengampunkan dosa serta kesilapan yang telah dilakukan. Sekiranya masih memerlukan kad kredit, tuan boleh melanggan versi islamik yang telah banyak berada di pasaran
والله أعلم بالصواب