BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera Tuan. 

Di sini saya ada satu persoalan. Semasa saya bekerja di sebuah syarikat baju, saya telah cuai memadam data customer syarikat. Saya sudah mengakui kesalahan saya dan bekas majikan saya juga sudah membuat laporan polis. Saya juga berjaya memulangkan data customer syarikat tersebut namun bekas majikan saya berkeras yang saya masih perlu memulangkan data yang lain. Data yang lain semua ada di dalam telefon dan telah dipulangkan kepada majikan. 

Sehingga kini, pihak polis tidak call saya seperti yang dikatakan oleh bekas majikan. Bekas majikan saya kata, jika saya dipihak yang benar, saya tidak perlu takut apabila polis call. Saya juga sudah buat permohonan maaf atas kesilapan saya pada bekas majikan. Saya cuai semasa bekerja. 

Adakah di akhirat kelak, saya akan dituntut oleh Allah atas kesilapan saya? Saya sangat takut dengan azab Allah. Saya sudah memohon maaf pada majikan dan memulangkan hak sedaya upaya saya. Saya bimbang jika ada hak lain yang akan dituntut oleh bekas majikan di akhirat kelak. 

Apa lagi yang perlu saya lakukan? Saya sudah memohon maaf secara bertulis tapi tiada response dari pihak bekas majikan. Adakah maaf saya tidak diterima oleh Allah kelak? 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Alhamdulillah puan telah mengakui kesilapan dan kecuaian puan, serta telah memulangkan hak dan memohon maaf kepada majikan puan. Semoga Allah SWT membuka dan melembutkan hati beliau supaya memaafkan puan. Urusan antara puan dan majikan telah selesai kerana puan telah memulangkan semua data tersebut dan memohon maaf. Mungkin majikan puan perlu mengambil masa untuk meredakan hati dan perasaannya atas tindakan puan sebagai pekerjanya.

Mengenai persoalan puan tentang perkara yang berlaku di akhirat kelak adalah di luar batasan makhluk-Nya. Ia adalah urusan Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Adil terhadap seluruh makhluk-Nya. Sebagai orang yang beriman, kita perlu meyakini bahawa Allah bersifat adil dan tidak sesekali menganiaya hamba-Nya dalam segala hal termasuk dalam urusan menghitung dan membalas segala amalan yang dilakukan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 40:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ ۖ وَإِن تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, maka nescaya akan menggandakannya, dan akan memberi dari sisi-Nya, pahala yang amat besar.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 104

message user image