Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Ayah saya tengah sertu kasut yang digigit anjing dan ketika dia tengah membilas air tanah tersebut , airnya terpercik kena kaki? Adakah perlu sertu semula tempat air yang terpercik itu?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, bau, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, warna dan rasa.
Merujuk kepada persoalan puan, sekiranya diyakini percikan air itu mengandungi najis, maka ia adalah air mutanajjis. Anggota badan yang terkena percikan air tersebut perlu dibasuh atau disucikan. Namun sekiranya percikan itu dari air bilasan dan tidak mengandungi najis, maka air percikan itu bukan najis.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.