Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t,
Saya ada soalan mengenai bapa saya.
Bapa saya masih sihat lagi dan setakat ini dan masih lagi mengerjakan solat 5 waktu di masjid setiap waktu. Tidak pernah tinggal untuk berjemaah di masjid kecuali bapa saya betul-betul kurang sihat atau tidak larat bangun untuk pergi ke masjid.
Cuma kekurangan bapa saya, bila masjid ada buat makan-makan bapa saya akan bawa makanan tersebut lebih dari sepatutnya. Niat dia kadang2 bagi kepada ibu saya atau tidak mahu makanan itu membazir.
Saya jemaah di masjid tersebut dan perkara ini sampai ke pengetahuan saya. Baru-baru ni ada salah seorang jemaah menyindir bapa saya kerana mengambil lebih makanan dari yg sepatutnya. Sebab mereka berkata makanan bapa saya bawak balik tu adalah hak org lain.
Pihak masjid ada maklumkan bahawa setiap jemaah hanya perlu ambil untuk diri sendiri tetapi bapa saya selalu terlebih mengambil makanan tersebut.
Bapa saya dan kami bukan dari golongan susah cuma "habit" bapa kami begini. Selain dari nasihat secara lembut kepada bapa saya, ada soalan saya ingin bertanya.
1)Bagaimana saya hendak menggantikan balik yang bapa saya terambil lebih makanan dari masjid tersebut.
2)Adakah saya perlu membayar semula lebihan makanan ini dan duit tersebut diberikan wakil masjid tersebut dgn lafaz niat tentang perkara ini atau
3)Masukkan sahaja duit ini ke dalam tabung masjid serta di niatkan di dalam hati.
Mohon pencerahan dan diucapkan ribuan terima kasih.
Terima Kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan; secara asasnya perbuatan mengelak daripada pembaziran merupakan amalan terpuji. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf: ayat 31:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
Keharusan ini termasuk perbuatan membungkus makanan daripada program keramaian dari segi uruf dan adat kebiasaan. Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian:
1-Hendaklah meminta izin daripada urusetia atau penganjur terlebih dahulu sekiranya mampu.
2-Hendaklah memastikan terlebih dahulu dengan yakin bahawa makanan tersebut sudah diambil oleh orang ramai ketika dihidangkan dan terdapat tanda makanan tersebut ialah makanan berbaki yang sudah tidak diambil orang selepas majlis bersurai supaya tidak mengambil hak orang lain sewenang-wenangnya.
3- Mengambil sekadarnya sahaja.
Jika seseorang tidak mendapat keizinan dan mengambil makanan daripada program berlebihan sehingga menimbulkan fitnah dan tohmahan, maka sebaiknya dielakkan. Gantikan bahagian yang tidak diketahui nilainya tersebut dengan sedekah ke masjid secara langsung dengan menyerahkan kepada pihak masjid atau tidak langsung mengikut kemampuan diri.
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin
والله أعلم بالصواب