BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..
 Saya ada beli ebook online. Setelah membeli penulis memberi amaran haram sekiranya menyebarkan ebook tersebut secara percuma. ia hanya untuk saya suami isteri & anak. Persoalannya dalam islam bukan ke berkongsi ilmu amat dituntut. Sekiranya saya tetap berkong ebook tersebut dgn adik beradik & kawan2 rapat dengan tujuan untuk pendidikan ank2 bukan untuk mengaut keuntungan boleh ke.. sebab ebook tersebut agak mahal rm50 bagi golongan b40 agak membebankan. Mohon response pihak tuan. Terima kasih, Saya sertakan paparan surat amaran tersebut.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Merujuk kepada keterangan yang diberikan, larangan dari pemilik ebook adalah jelas iaitu tidak membenarkan sebarang perkongsian ebook tersebut kepada pihak lain. Ini bertepatan dengan Maqasid atau objektif Syariah itu sendiri bagi tujuan memelihara Akal (Hifz al-‘Aql) dan Harta (Hifz al-Mal). Dalam konteks memelihara Akal, Perundangan Islam dengan jelas memberi pengiktirafan secara individu kepada sesiapa yang menghasilkan sesuatu idea, penemuan atau ilmu yang bermanfaat untuk umat. Dalam konteks menjaga harta, jelas ebook adalah milik penciptanya yang telah dipatenkan dan tidak boleh sama sekali ditiru atau disebarkan tanpa keizinan.

Di dalam Surah al-Maidah ayat 1, Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Diperkuatkan lagi dengan hadis daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati. (Riwayat Abu Daud)

Puan hanya boleh menyebarkan apa yang puan fahami tanpa berkongsi ebook tersebut.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 118

message user image