Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalam ustaz, saya ada soalan. Saya ada perselisihan faham dengan suami. Dalam pertengkaran yang telah berlaku, suami menyebut "pergilah balik sana. Ayah awak boleh tolong jagakan". Adakah sah jatuh talak? terima kasih ustaz.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Perkataan suami "pergilah balik sana. Ayah awak boleh tolong jagakan", bukanlah lafaz talak yang sorih (jelas). Namun, perkataan itu boleh jadi kinayah (kiasan) kepada talak. Dalam situasi ini puan perlu mendapatkan penjelasan daripada suami tentang niatnya, sama ada dia niatkan cerai atau tidak. Jika dia niatkan cerai, maka jatuhlah talak ke atas puan. Jika bukan, maka talak tidak jatuh.
Tindakan yang perlu dilakukan jika suami niatkan untuk cerai ialah, puan atau pasangan hendaklah membuat permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal puan untuk disahkan dan didokumenkan oleh pihak Mahkamah Syariah kerana mereka sahaja yang mempunyai bidangkuasa mengesahkan perceraian.
والله أعلم بالصواب