Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya, jika selipar kita terpijak najis, kemudian memijak jalan yang kering, selipar kita dianggap telah suci. Namun, bagaimana pula sekiranya selepas terpijak najis, jalan yang dilalui sepas itu basah. Adakah ia masih dikira telah suci?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, bau, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, warna dan rasa.
Merujuk kepada persoalan puan, sekiranya najis yang dipijak hanya terkena pada bahagian bawah tapak kasut mahupun selipar, maka tidak perlu dibasuh hanya memadai bersentuh dengan tanah dengan syarat telah hilang kesan najis tersebut seperti bau, warna dan rasa. Hal tersebut termasuk dalam perkara yang sukar dielakkan (umum al-balwa) iaitu sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku. Tambahan pula, kasut mahupun selipar yang sentiasa digunakan seharian boleh disucikan secara tidak langsung apabila terkena padanya tanah, air mahupun rumput. Tapak kasut atau selipar yang disapu pada tanah dapat menyucikannya. Hal ini berdasarkan riwayat Abu Sa’id al-Khudri RA, Rasullulah SAW bersabda:
إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ : فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
Maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dengan tanah) dan dibolehkan bersolat dengan memakai kasut itu. (Riwayat Abu Daud)
Hadis tersebut menunjukkan bahawa sapuan pada tapak selipar atau kasut pada tanah boleh menyucikannya daripada kotoran. Dan yang zahir pada kedua-duanya adalah dengan maksud najis, sama ada najis bersifat basah atau kering. Maka dapat difahami sekiranya tapak kasut terkena atau terpijak najis yang nyata akan hilang kesannya dengan sebab disapu pada tanah.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.