BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Sy nk tanya berkaitan ingkar janji. Situasinya begini. Di sekolah sy ada menjalankan 1 program amal solidariti palestin dan setiap kelas telah diberikan tugasan dan kelas sy ditugaskan untuk menjaga permainan digital. Pelanggan kami adalah murid2 dari kelas lain. Mereka yang ingin bermain akan dikenakan bayaran dan bayaran tersebut akam dimasukkan ke dalam tabung kemanusiaan palestin. Jadi saya telah membahagikan anak2 murid saya kepada beberapa slot yang mana setiap slot mempunyai 7 atau 8 orang. Mereka ini ditugaskan untuk mengawal pelanggan yang akan bermain permainan digital tersebut. Sebagai upah, saya telah berjanji dgn anak2 murid saya untuk memberikan ruang kepada mereka untuk bermain secara percuma.

Kemudian, keesokannya saya meminta kerja sekolah yang telah saya berikan kepada anak2 murid saya dan saya meminta mereka siapkan kerja tersebut di rumah. Malangnya, tiada seorang pun yang buat dan siapkan kerja yang telah saya berikan. Sebagai denda, saya menarik semula janji saya untuk memberi mereka ruang bermain permainan digital. Jadi persoalannya, adakah saya dikira mengingkar janji? Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Hukum menunaikan janji adalah wajib ditunaikan. Sepertimana firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 34:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.

Menurut penjelasan puan, puan telah berjanji dengan anak murid puan untuk memberi mereka ruang bermain permainan digital tersebut sebagai upah mereka menjaga permainan tersebut seperti yang telah ditugaskan. Adalah sebaiknya puan menunaikan janji tersebut kerana janji tersebut tiada kaitan dengan kerja sekolah yang puan berikan pada keesokan harinya. Kerja sekolah ialah situasi lain yang tiada kaitan dengan janji untuk memberi ruang bermain permainan tersebut.

 Tindakan puan menunaikan janji tersebut boleh dijadikan sebagai contoh yang baik kepada anak murid puan sebagai salah satu sifat mulia iaitu apabila berjanji, ia menunaikan janji. Mengenai denda bagi kerja sekolah yang tidak dilakukan adalah sebaiknya dikenakan denda yang lain yang tiada kaitannya dengan janji memberi mereka ruang bermain sebagai upah mereka menjaga permainan digital tersebut.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 110

message user image