BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t,

Saya ingin bertanya, apakah hukum memakan makanan yang dimasak bersama ayam yang tidak pasti sama ada diesembelih atau tidak? Contohnya memakan hanya sayuran yang dimasak bersama ayam, tetapi ayam tersebut tidak dapat dipastikan samada melalui proses penyembelihan atau tidak. Namun bahan masakan yang lain adalah terbukti halal. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Mencari makanan yang halal merupakan tanggungjawab setiap Muslim. Sekiranya hidangan itu dihidangkan oleh seorang Muslim, secara zahirnya makanan tersebut adalah halal selagi mana tidak terbukti makanan yang dibawa itu adalah tidak halal. Kita tidak dituntut untuk mengkaji sedalamnya mengenai status sesuatu daging tersebut dari sudut siapa yang menyembelihnya, dan sebagainya.

Nabi SAW pernah ditanya tentang hal ini:

قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ هَا هُنَا أَقْوَامًا حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ بِشِرْكٍ يَأْتُونَا بِلُحْمَانٍ لَا نَدْرِي يَذْكُرُونَ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا أَمْ لَا - أَفَنَأْكُلُ مِنْهَا؟- قَالَ اذْكُرُوا أَنْتُمْ اسْمَ اللَّهِ وَكُلُوا

Maksudnya: Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya di sini (Madinah) terdapat kaum-kaum yang baru sahaja (meninggalkan) kesyirikan (baru menganut Islam) yang membawa kepada kami daging yang kami tidak tahu mereka menyebut nama Allah atau tidak ke atasnya (semasa sembelihan). Apakah boleh kami memakannya?" Sabda Nabi SAW: “Kamu sebutlah nama Allah dan makanlah” (Riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanapun, daging yang dihidangkan oleh orang bukan Islam perlu dipastikan status halalnya dengan bertanya kepada pembuat makanan. Setelah mendapat kepastian, dan terbukti bahawa daging tersebut tidak halal, maka makanan yang terhasil darinya seperti sup, sayur dan lain-lain yang bercampur dengan daging tersebut juga dihukumkan sebagai tidak halal. Namun, jika terdapat tanda bahawa daging tersebut adalah halal, seperti dikhabarkan oleh orang bukan Islam yang dipercayai, terdapat logo halal dan sebagainya, maka makanan tersebut dihukumkan sebagai halal.

Seandainya tetap tidak dapat dipastikan kehalalannya, maka hendaklah ditinggalkan dengan mengambil iktibar daripada hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu'man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ وَالْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang tidak jelas (syubhah), yang tidak diketahui oleh banyak orang. Sesiapa yang meninggalkan perkara-perkara syubhah dia telah mencari kebebasan untuk agamanya (dari kekurangan) dan kehormatan dirinya (dari aib dan cela), dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara-perkara syubhat dia telah terjatuh dalam perbuatan haram.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 114

message user image