BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

1. Adakah "Late Payment Charges" riba? Sebagai contoh, sebuah syarikat (pembeli) membayar caj tersebut akibat lewat membayar kepada penjual barangan yang telah dibeli. Perjanjian ini telah dipersetujui kedua pihak di mana ia bertujuan mengurangkan kerugian pihak penjual akibat tunggakan bayaran oleh syarikat pembeli.

2. Apakah hukum denda akibat lewat membekalkan sesuatu barangan? Sebagai contoh, penjual berjanji untuk menghantar barangan kepada pembeli pada tarikh yang telah dipersetujui, namun akibat kelewatan yang berlaku, penjual dikenakan denda (berdasarkan jumlan hari yang lewat).


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Mengenakan "Late Payment Charges" atau denda akibat lewat membuat pembayaran hutang daripada transaksi jual beli adalah riba. Ini adalah kerana mengenakan bayaran tambahan terhadap hutang akibat jual beli kerana kegagalan membuat bayaran pada masa yang tetapkan dinamakan sebagai riba al-nasi'ah. Perkara ini bertepatan dengan kaedah Fiqh:

 كُلُّ قَرْضٍ جَرَّ مَنْفَعَةً، فَهُوَ رِبًا

Maksudnya: Setiap hutang yang memberikan manfaat adalah riba.

Walaupun terdapat persetujuan awal mengenai perkara tersebut, ia adalah syarat yang batil kerana menyalahi syarak. Hadis daripada Amru bin Awf RA bahawa Nabi SAW bersabda:

‏ وَالمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ، إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً، أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا

Maksudnya: Dan orang Islam itu terikat dengan syarat-syarat (perjanjian) mereka melainkan syarat mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. (Riwayat al-Tirmidhi)

2. Denda akibat gagal menyempurnakan sesuatu tugas atau perkhidmatan adalah diharuskan sekiranya terdapat perjanjian awal di antara pihak-pihak. Ini adalah kerana denda yang dikenakan tidak ada kaitan dengan hutang atau penangguhan bayaran hutang. 

Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 1:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maknanya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 114

message user image