Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya mempunyai kemusykilan tindakan yang harus saya lakukan dalam rumah tangga saya. Usia perkahwinan saya hampir 6 tahun dan mempunyai 3 orang anak lelaki yang sangat comel. Namun suami tidak sempurna dalam memberikan nafkah kepada anak dan saya sendiri, malah duit rumah, kereta dan bil semua di bawah tanggungan saya. Suami juga sering menuduh saya berzina dengan pelajar dan rakan sejawatan saya sehingga menuduh saya sebagai pelacur, hati saya sentiasa memaafkan dia namun hampir 6 tahun tuduhan dan tanggungjawab keluarga di bahu saya hati saya sudah tidak dapat menerima dengan tenang. Lagi pula saya hilang fokus untuk bekerja kerana sering dicaci diherdik hampir setiap hari. Selain itu, suami juga pernah memukul saya sehingga ada kesan lebam dan bengkak malah pernah mencekik saya. Saya sangat keliru.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, berkenaan permasalahan rumahtangga puan dan suami, sebaiknya perkara ini puan boleh membuat aduan terus ke Unit Undang-undang Keluarga Islam di Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal puan untuk khidmat nasihat dan tindakan yang berkesan. Adapun, nafkah puan dan anak-anak adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab suami/ bapa mengikut kadar kemampuan suami. Firman Allah SWT : Maksudnya : “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (at-Talaq : 7) Manakala tuduhan zina daripada suami terhadap puan, ia sesuatu yang amat berat. Suami boleh dikenakan qazaf iaitu melemparkan tuduhan palsu ke atas isteri tanpa saksi. Perkara ini boleh dikemukakan ke Mahkamah Syariah berkenaan kes “Li’an”. Firman Allah SWT : Maksudnya : “Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.” (an-Nur : 6-7) Firman Allah SWT lagi yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan, mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar”. (an-Nur : 24) Berkenaan dengan kes pukul dan keganasan yang dilakukan terhadap suami dari segi mental dan fizikal, dinasihatkan supaya membuat laporan polis dan laporan doktor, jika penderaan berlarutan. Ia juga boleh dijadikan sokongan terhadap pemohonan puan di Mahkamah Syariah kelak. Tindakan ini diambil supaya penderaan ke atas puan sebagai isteri terbela dari segi undang-undang. Disamping berdoa memohon pertolongan Allah SWT, puan dapatkanlah sokongan moral dari ahli keluarga terdekat dan rakan yang amanah agar puan tidak tertekan dan kemurungan kerana ia juga boleh menyebabkan penyakit yang lebih serius. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.