Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya bagi pihak kawan saya. Dia malu bertanya sendiri.
Kawan saya mempunyai cucu tidak sah taraf(budak lelaki) daripada anak lelakinya, dia ingin menjadikan budak tersebut anak susuannya untuk menghalalkan kepada keluarga sebelah dia. Anak lelakinya telah berkahwin dengan ibu budak tersebut.
Tetapi ada pendapat mengatakan walaupun dia telah mejadikan anak tersebut sebagai anak susuannya, anak tersebut tetap tidak halal kepada anak2 yg lain iaitu abang dan kakak susuannya. Anak tersebut halal kepada adik2 susuannya sahaja.
Maksudnya, sekarang kawan saya ada anak lelaki dan anak perempuan yang lain, bila budak tersebut sah sebagai anak susuannya, dia tidak halal kepada abang dan kakaknya. Dia hanya halal kepada adik susuannya sahaja, iaitu jika kawan saya mempunyai anak lain selepas budak tersebut disusukan(anak susuan). Betul kah begitu?
Ribuan terima kasih jika pihak tuan/puan sudi menjawap kemusykilan kawan saya ini.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, apabila seorang wanita menyusukan seorang anak susuan, maka anak susuan tersebut menjadi anak susuan kepada suaminya. Anak susuan tersebut juga menjadi saudara susuan (adik-beradik susuan) kepada semua anak-anak wanita itu, sama ada anak-anak yang sedia ada atau anak yang akan dilahirkan kemudian. Ini adalah kerana seorang wanita yang menyusukan seorang bayi (anak susuan) dianggap seperti dia melahirkan bayi tersebut. Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Diharamkan dari susuan apa yang diharamkan dari nasab (keturunan).