Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya tentang mandi wajib.Sewaktu melaksanakan mandi wajib, saya berhenti seketika untuk membuang air besar selama 5-10 minit.Setelah selesai membuang air besar, adakah saya perlu ulang mandi wajib dari awal atau sekadar meneruskannya?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, harus menyambung semula mandi wajib tersebut selepas membuang air besar dan tidak perlu mengulangnya dari mula kerana mandi wajib tersebut masih sah. Namun ia tidak mengangkat hadas kecil ketika mandi wajib dilakukan. Oleh yang demikian, selepas mandi wajib saudara tidak boleh mengerjakan solat melainkan berwuduk terlebih dahulu. Berlainan pula jika seseorang ketika mandi wajib tidak berlaku perkara yang membatalkan wuduk, maka dengan mandi wajib itu juga terangkat hadas kecilnya dan harus mengerjakan solat tanpa berwuduk.
Sekian, terima kasih.