Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan,
Saya ingin bertanya tentang prosedur untuk saya bernikah. Terlebih dahulu saya ingin menerangkan keadaan diri saya yang membuatkan saya bertanya ke pejabat mufti ini. Saya merupakan anak luar nikah. Ibu saya telah dianiayai (disihir) sehingga mengandung oleh bekas majikannya(ayah kandung)sendiri pada ketika dahulu sewaktu ibu saya masih lagi isteri kepada ayah saya( bukan ayah kandung) dan setelah melahirkan saya nama saya telah dibintikan dengan ayah (bukan ayah kamdung) yang merupakan suami kepada ibu saya kerana ibu saya merupakan isteri kepada ayah itu. Setelah itu ibu saya pergi berubat dan meyedari bahawa kejadian yang membuatkan saya ada bukan dalam kesedaran waras ibu saya. Tetapi sekarang masalah yang sedang saya hadapi ialah saya ingin menikah tetapi nama saya dibintikan dengan nama suami ibu saya yang merupakan bukan ayah kandung saya ataupun Abdullah. Ayah saya yang bukan kandung ini telah menjaga saya dan memberi kasih sayang penuh sama seperti anaknya yang lain. Situasi saya sekarang ini ibu saya sudah berkahwin lain dan suami barunya tidak boleh tau kisah lampau ini. Saya ingin menikah tetapi tidak tau bolehkah ayah yang saya guna namanya dibinti itu boleh menjadi wali saya ataupun saya perlu menggunakan wali hakim dan bernikah di pejabat agama? Saya dan ibu bersetuju untuk menutup aib ini dan betul2 ingin mengetahui cara untuk saya bernikah jika nama saya ini dibintikan dengan ayah bukan kandung bolehkah nikah pakai nama ini dan bolehkah nikah walinya ayah bukan kandung saya atau perlu wali hakim? Ayah kandung saya masih hidup dan saya juga ada berhubung dengan dia.Saya betul2 tidak tau cara untuk prosedur nikah saya ini.Harap pihak tuan/puan dapat menjawab soalan saya. Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ
Maksudnya: (Nasab) anak hak kepada pemilik firash (suami dari perkahwinan yang sah), dan bagi penzina adalah batu (hukuman rejam dan tidak boleh dinasabkan kepadanya) (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, seandainya seorang isteri melakukan zina dengan lelaki lain, anak yang lahir secara asasnya dinasabkan kepada suami isteri tersebut dengan syarat seperti berikut:
1. Anak itu lahir lebih daripada enam bulan qamariah dan 2 lahzah (detik) dari waktu imkanul dukhul, iaitu pertemuan antara isteri dan suami yang membolehkan berlakunya persetubuhan.
2. Suami tidak menafikan anak tersebut sebagai bukan anaknya dengan melakukan li'an.
Berdasarkan kepada keterangan yang diberikan, seandainya 2 syarat tersebut dipenuhi oleh ayah saudari (suami kepada ibu ketika ibu disihir), maka sayugia saudari dinasabkan kepadanya dan menjadi wali nikah kepada saudari. Untuk mendapatkan pengesahan saudari boleh merujuk kepada Mahkamah Syariah yang terdekat di tempat kediaman saudari.
والله أعلم بالصواب