BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Berapakan tempoh iddah bagi wanita yang ada masalah haid tidak teratur @ tidak pernah datang haid sejak 4 tahun lalu (disebabkan masalah hormon / kesihatan / kesan makan ubat atas faktor kesihatan)? Sekiranya bercerai, bagaimanakah pengiraan tempoh iddah wanita tersebut? Terima kasih


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

ٍSecara umumnya, bagi wanita yang telah sampai usia menopaus iaitu mereka yang tidak lagi didatangi oleh haid, maka tempoh iddahnya adalah 3 bulan qamariyah. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah al-Talaq ayat 4:

وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِنْ نِسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ

Maksudnya: Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka iddahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid.

Manakala bagi wanita yang belum menopaus (masih didatangi haid), maka tempoh iddahnya adalah 3 kali suci. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 228:

 وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin iaitu iddahnya) selama tiga kali suci (dari haid).

Sekiranya wanita yang belum menopaus tidak didatangi haid untuk tempoh masa yang panjang dan diketahui punca keadaan itu seperti menyusukan bayi atau mengambil ubat-ubatan, maka tempoh iddahnya adalah 3 kali suci sebagaimana ayat di atas. Wanita itu perlu menghilangkan atau mengatasi punca tersebut dan menunggu sehingga 3 kali suci. 

Seandainya punca tersebut telah hilang dan haid masih juga tidak datang atau tidak diketahui punca tidak didatangi haid untuk tempoh yang panjang, wanita itu hendaklah berjumpa dengan doktor pakar yang dipercayai bagi mendapatkan nasihat atau rawatan seandainya diperlukan. Seandainya doktor pakar mencadangkan atau mengesahkan bahawa darah haid mungkin tidak akan keluar lagi, maka ketika itu wanita itu boleh dihukumkan sebagai menopaus setelah melalui tempoh 9 bulan qamariyyah dari tarikh penceraian. Kemudian wanita itu hendaklah beriddah selama 3 bulan qamariyyah. Jika haid datang sebelum berakhir 3 bulan qamariyyah, maka tempoh iddah kembali kepada 3 kali suci. Begitulah seterusnya jika kemudian haid tidak datang selama 9 bulan, maka tempoh iddah bertukar menjadi 3 bulan qamariyyah. Seandainya berlalu 3 bulan qamariyyah, maka tamatlah tempoh iddah walaupun didatangi haid selepas daripada itu.    

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 595

message user image