BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum kepada yang mulia ahli-ahli Jabatan Mufti Negeri Selangor. Alhamdulillah dan syukur kepada Allah S.W.T kerana diberikan peluang untuk bertanyakan soal jawab. Salam serta selawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan juga seluruh keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda. 

BismillaahirRahmaanirRahiim,

Sejak usia kanak-kanak, saya mula terpengaruh dengan 'Pornografi' sehingga menyebabkan ketagihan. Setelah itu, saya menyedari perbuatan tersebut terang-terangan hukumnya adalah Haram justeru mempunyai rasa bersalah. Setelah akil baligh, saya masih melayari bahan lucah serta diikuti dengan melancap. Saya mendapat tahu bahawa hukum melancap juga adalah haram sehingga menyebabkan saya rasa /terpinga-pinga/. Ibu saya perasan keadaan saya agak aneh dan kurang stabil.

Oleh itu beliau mengambil langkah dengan membawa saya ke pusat rawatan islam dan hospital bahagian (psikiatri). Beliau tidak tahu masalah ketagihan 'Pornografi' yang saya hadapi saya juga tidak maklumkan kepada doktor dan ustaz yang merawat sehinggalah habis pengajian di SMK. Saya menyambung pengajian di tingkatan 6 dan tiada halatuju dalam pelajaran serta mengalami kemurungan. Ketika itu, mendapatkan semula rawatan psikiatri di hospital kerajaan. Oleh itu, ibu saya dapat mengesan sesuatu dan saya tekad memberitahu beliau bahawa saya ketagihan 'Pornografi' selama itu.

Hanya kepada Allah tempat saya mengadu dan memohon ampun, saya mengadu kepada Allah S.W.T supaya bantu saya dalam masalah yang saya hadapi iaitu untuk berhenti melayari bahan lucah tersebut. Walaubagaimanapun, saya masih tidak mampu untuk berhenti melayari dan melancap. Namun, saya tetap berdoa kepada Allah supaya diberikan taufik dan petunjuk (hidayah) berlandaskan syariat Islam. Alhamdulillah saya mendapat satu petunjuk iaitu hukum melancap adalah Harus mengikut pandangan mazhab Hanbali dengan melayari portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Sesungguhnya saya akui bahawa hanya berpegang pada mazhab Syafi'e iaitu Haram melancap selama ini menyebabkan saya mengalami kemurungan yang melampau sehinggakan saya hampir hilang kewarasan akal dengan berfikiran kearah hendak membunuh ahli keluarga sendiri.

Saya juga turut melayari portal rasmi Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Selangor untuk mencari hukum harus bagi melancap, namun saya tidak menjumpainya. Saya memohon restu dari pihak Mufti Negeri Selangor untuk membenarlan saya mengambil hukum Haram dan Harus dari artikel Mufti Wilayah Persekutuan. Ini supaya dapat mengurangkan keresahan, kemurungan dan tekanan yang melampau yang saya sedang alami dengan menyeimbangkan hukum bagi Haram dan Harus melancap.

Saya mengharap jasa baik pihak Mufti untuk membalas kembali.

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Manusia diciptakan oleh Allah SWT mempunyai nafsu syahwat sebagai fitrah untuk menjalani dan memenuhi kehidupan yang sempurna. Adapun begitu, ia perlu dididik dan dikawal supaya dimanfaatkan pada perkara yang baik dan menjauhi perkara yang dilarang oleh syarak. Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 5 hingga 7:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ﴿٥﴾‏ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ﴿٦﴾‏ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ﴿٧﴾

Maksudnya: Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini daripada yang demikian, maka merekalah orang yang melampaui batas.

Menonton perkara lucah atau pornografi sehingga menjurus kepada perbuatan onani atau melancap merupakan suatu perbuatan yang diharamkan di dalam Islam. Perbuatan onani itu sendiri dihukumkan sebagai haram oleh majoriti para Fuqaha mazhab Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali. Hanya sebahagian kecil ulamak mengatakan ianya makruh. Sebahagian mazhab seperti mazhab Hanbali mengharuskan perbuatan tersebut di dalam keadaan darurah atau terpaksa seperti mengelakkan diri dari terjerumus dalam perbuatan zina.  

Rasulullah SAW mendidik umatnya yang tidak mampu untuk berkahwin dengan membiasakan diri dengan berpuasa supaya dapat mengurangkan keinginan, melemahkan syahwat dan mendidik diri untuk bersabar. Sabda Rasulullah SAW:

‌يَا ‌مَعْشَرَ ‌الشَّبَابِ، ‌مَنِ ‌اسْتَطَاعَ ‌مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ؛ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: Wahai para pemuda, barangsiapa sesiapa yang dalam kalangan kamu yang berkemampuan, hendaklah dia berkahwin. Dan barangsiapa yang tidak berkemampuan, maka hendaklah dia berpuasa kerana berpuasa itu menjadi pelindung baginya.

Usaha yang saudara akukan dengan mendapatkan rawatan di samping memohon ampun dan petunjuk daripada  Allah SWT adalah suatu perbuatan yang terpuji dan perlu diteruskan sehingga saudara berjaya mengatasi permasalahan ketagihan tersebut. Selain itu, disarankan agar saudara cuba untuk memenuhi jadual harian tuan dengan perkara yang berfaedah dan melakukan pelbagai aktiviti sosial yang bermanfaat sehingga saudara tuan terlupa akan aktiviti ini. Elakkan daripada berada dalam suasana bersendirian. Saudara mesti berazam untuk menjauhi perkara tersebut atau tidak lagi menonton video dan melihat gambar yang boleh menjurus kepada keghairahan syahwat. Semoga dengan usaha saudara dinilai oleh Allah SWT serta dipermudahkan semua urusan serta mendapat hidayah dari-Nya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 142

message user image