Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
DI DALAM KEBUN SAYA BANYAK KESAN SONDOLAN BABI ATAU KESAN LALU LALANG BABI, APAKAH DIHUKUM SEBAGAI BERNAJIS, JIKA YA APAKAH YANG PERLU SAYA LAKUKAN DAN KALAU TIDAK APA PULA TINDAKAN SAYA PERLU BUAT, KERANA SETIAP HARI SAYA AKAN BERADA DI KEBUN ITU MELAKUKAN KERJA. MOHON PENCERAHAN DARI PIHAK TUAN. TERIMA KASIH
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan; secara asasnya khinzir dikategorikan sebagai binatang yang dikategorikan najis mughallazah iaitu jenis yang berat. Menurut pandangan mazhab Syafi'i, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali dan salah satu daripadanya menggunakan air tanah sama ada najis tersebut najis aini atau hukmi.
Namun begitu, dalam persoalan yang diajukan hanya kesan perbuatan babi merosakkan tanaman sahaja yang didapati di kebun diusahakan. Akan tetapi tidak terdapat kesan ain najis di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, tidaklah dihukumkan kawasan tersebut bernajis.
Hal ini kerana, pada asalnya hukum tiada najis, maka tidak dihukum najis sehinggalah dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Adapun bekas tapak kaki atau kawasan ia bermain atau mencari makanan dengan memusnahkan tanaman, maka ia termasuk dalam perkara umum yang sukar dielakkan. Oleh itu, berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya, maka tidak perlu disertu. Tambahan pula tanah pada asasnya merupakan salah satu daripada alat yang boleh digunakan untuk bersuci.
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin
والله أعلم بالصواب