BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanyakan tentang hal najis.Abang saya mempunyai hobi aquascaping, dimana dia suka menghias tanaman² air dalam akuarium yang bersaiz sederhana (kurang 2 kolah).Dia turut akan mengisi akuarium itu dengan udang² kecil ataupun ikan² kecil (guppy atau laga).Saya pernah melihat dia membersihkan akuarium itu dan terdapat percikan air pada pakaiannya.Saya memaklumkan perkara itu kepadanya namun dia hanya mengangguk dan terus pergi menunaikan solat tanpa menukar atau mencuci kesan percikan air akuarium itu setelah selesai dia berkata bahawa najis² ikan dan udang telah diserap oleh tanaman² air sebagai baja.

Adakah tindakan abang saya itu salah ataupun dimaafkan?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, bau, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, warna dan rasa.

Merujuk kepada persoalan tuan, mengikut pendapat yang muktamad, sekiranya air di dalam akuarium yang sedikit (kurang dua kolah) tersebut mengandungi najis ikan, maka air percikan yang terkena pada pakaian dikira sebagai najis dan hendaklah disucikan dengan melalukan air mutlak ke atasnya sehinggalah hilang bau, warna dan rasa. Namun sekiranya najis tersebut tidak dapat dilihat oleh mata, maka ia dimaafkan oleh syarak. Begitu juga air percikan yang terlalu sedikit yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar maka ia juga dimaafkan oleh syarak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 131

message user image