Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.h
Tuan / Puan,
Saya ada pertanyaan mengenai isu anak tidak sah taraf. Saya banyak membaca fatwa² setiap negeri mengenai anak tidak sah taraf yang mana ada perbezaan pendapat mengenai hal tersebut.
1) Anak perempuan telah diberitahu oleh ibunya bahawa dia adalah seorang anak luar nikah dan perkara yersebut tidak dinafikan oleh bapa. Pada sijil kelahiran anak, ada nama bapa tersebut kerana anak tersebut dilahirkan selepas 6 bln. Adakah bapa tersebut boleh mewalikan anak tersebut apabila anak tersebut berkahwin kelak?
2) Adakah perlu si bapa membuat pengesahan anak tidak sah taraf di mahkamah bagi mengelakkan masalah nasab dan urusan harta pusaka dan masalah² berkaitan kelak?
3) Si bapa dan ibu anak tersebut telah bercerai. Dan ada perintah mahkamah berkaitan nafkah anak tidak sah taraf tersebut. Adakah boleh bapa tersebut kembali ke mahkamah dan menggugurkan perintah mahkamah yang telah ada
4) Andai kata si bapa tidak membuat pengesahan anak tidak sah taraf, dan bapa tersebut meninggal dunia.. apabila urusan faraid dilakukan, anak tersebut menerima bahagian harta pusaka adakah haram harta tersebut di gunakan oleh anak tersebut. Sedangkan hal tersebut diketahui oleh anak, nenenk dan ibu tersebut?
Terima kasih tuan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
1) Sebarang penafian terhadap ketidaksahan taraf anak sama ada dari pihak ibu atau pihak bapa, atau kedua-duanya hanya boleh dilakukan di dalam mahkamah. Pengesahan sama ada seseorang anak itu adalah anak sah taraf atau sebaliknya hanya boleh diputusan oleh pihak mahkamah Syariah. Selama tidak ada ketetapan atau keputusan yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah, maka bapa kepada anak perempuan itu dianggap sebagai wali yang sah berdasarkan kepada sijil pendaftaran yang sedia ada..
2) Perkara tersebut merupakan hak bapa sama ada hendak melakukan penafian atau tidak kepada pihak mahkamah. Berdasarkan kepada pandangan yang muktamad di dalam mazhab Syafi'i, penafian perlu dilakukan dalam tempoh masa yang segera selepas daripada mengetahui kehamilan atau kelahiran anak tanpa membiarkan tempoh masa yang panjang melainkan terdapat sebab yang munasabah berlaku perkara sedemikian. Walau bagaimanapun, keputusan muktamad tetap berada pada pihak mahkamah untuk menentukannya.
3) Perkara berkaitan nafkah dan sebagainya bergantung kepada ketetapan dan keputusan mahkamah terhadap status anak tersebut seandainya terdapat permohonan pengesahan kesahtarafan anak.
4) Seandainya tidak ada permohonan ketidaksahan taraf anak dari pihak bapa, maka bapa tersebut disifatkan sebagai bapa yang sah dan anak perempuan tersebut berhak mendapat harta pusaka.
والله أعلم بالصواب