Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya ingin bertanya saya mempunyai penyakit ekzema yang kebanyakannya di kaki (atas buku lali), depan & belakang badan (bukan di bahagian anggota wudhu) & ada cuma ada sedikit saja di bahagian anggota wudhu iaitu tangan & tumit. Saya perlu memakai ubat sapu setiap hari. Pertanyaan saya adakah wudhu & solat saya sah kalau sebelum saya mengambil wudhu, saya hanya bersihkan bekas ubat sapu di bahagian anggota wudhu saja? Ataupun saya perlu membersihkan kesemuanya termasuk yang berada di bukan anggota wudhu setiap kali ingin mengambil wudhu?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Fardu wuduk menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji mempunyai 6 perkara iaitu niat, membasuh muka, membasuh kedua tangan hingga ke siku, menyapu sebahagian kepala (rambut), membasuh kedua-dua kaki hingga ke buku lali dan tertib. Jadi, anggota tersebut hendaklah dibersihkan dahulu sebelum berwuduk supaya tiada perkara yang menghalang air sampai ke anggota wuduk.
Berdasarkan persoalan yang puan ajukan, sah wuduk dan solat puan jika hanya membersihkan di bahagian anggota wuduk sahaja. Puan tidak perlu membersihkan semua anggota badan yang tidak termasuk anggota wuduk.
والله أعلم بالصواب