Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam.
1.Apakah hukum melaksanakn solat jamak dalam keadaan tidak bermusafir (tinggal dirumah)?
2.Sekiranya yang melakukan solat jamak tersebut adalah oku mental namun sihat(bipolar/skizo) adakah sah solat tersebut?
3. Jika saya bermusafir ke luar negara dalam masa 5 hari di sana, adakah hari ke 4 sy perlu solat seperti biasa dan tidak boleh melakukan solat jamak?
Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan;
1. Secara umumnya tidak dharuskan melaksanakan solat fardu secara jamak dalam keadaan tidak bermusafir (tinggal di rumah) dan hukumnya tidak sah. Walau bagaimanapun, adalah diberi rukhsah atau kemudahan kepada pesakit yang menanggung masyaqqah atau kesukaran menunaikan solat fardu pada setiap waktunya untuk menunaikannya secara jamak tanpa qasar. Ini berdasarkan kepada pandangan mazhab Maliki, mazhab Hambali serta sebahagian ulamak mazhab Syafi'i. Berdasarkan buku Panduan Bersuci dan Bersolat Bagi Pesakit yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pesakit yang mengalami kesakitan serta kesulitan untuk menunaikan solat pada waktunya diharuskan untuk menunaikan solat fardu secara jamak antara solat fardu Zohor dan fardu Asar atau solat fardu Maghrib dan fardu Isya' secara jamak taqdim atau jamak ta'khir.
2. Antara syarat wajib solat adalah mukallaf iaitu baligh dan berakal sempurna. Sama ada wajib atau tidak seorang OKU mental (seperti bipolar atau schizophrenia) untuk mendirikan solat bergantung kepada tahap kemampuannya untuk memahami perintah atau suruhan solat. Ini adalah kerana tahap atau peringkat kemampuan mental mereka adalah berbeza-beza mengikut tahap keseriusan penyakit yang dialami. Perkara ini perlu dirujuk kepada pakar psikiatri. Seandainya gangguan yang mereka alami adalah ringan, masih mampu melakukan kerja harian, mengurus diri serta memahami tuntutan solat, maka dia wajib mendirikan solat. Sekiranya gangguan itu pertengahan yang menjadikan pesakit mental itu seperti kanak-kanak, namun mampu membezakan apa yang baik dan yang buruk, maka dia dihukumkan seperti kanak-kanak mumayyiz yang sah solatnya. Akan tetapi tidak perlu mengqada' solat jika meninggalkannya. Bagi pesakit mental tahap serius yang sukar memahami suruhan atau tidak dapat menguruskan diri sendiri, maka ibadah solat tidak wajib ke atasnya.
Menjawab soalan yang diajukan, pada asasnya penyakit mental bukanlah sebab yang mengharuskan melakukan solat fardu secara jamak.
3. Seorang yang bermusafir dibenarkan untuk menunaikan solat secara jamak dan qasar sepanjang perjalanan selepas keluar daripada kawasan tempat dia tinggal. Setibanya di tempat yang dituju, diharuskan untuk menunaikan solat secara jamak dan qasar selama tinggal di situ dengan syarat dia TIDAK berniat untuk tinggal selama 4 hari atau lebih, tidak termasuk hari sampai dan hari keluar meninggalkan tempat tersebut. Seandainya dia berniat untuk tinggal di situ selama 4 hari atau lebih, tidak termasuk hari tiba dan hari keluar, maka dia tidak dibenarkan untuk menunaikan solat secara jamak dan qasar setibanya di tempat itu.
والله أعلم بالصواب