Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Setiap subuh hari jumaat imam akan baca surah ada sujud sajadah
Saya tak larat nak berdiri lama
apa yang saya tahu, kalau solat fardhu wajib berdiri
Surah yang di baca panjang saya tak larat nak berdiri nak tunggu sampai ayat yang kena buat sujud tu
Boleh ke saya duduk? Waktu rukuk tu saya perlu berdiri semula atau terus je duduk sampai rakaat 2 ataupun sampai habis solat?
Mohon pencerahan...
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Berdiri tegak merupakan salah satu daripada rukun solat yang wajib dipenuhi dalam solat fardu bagi mereka yang berkemampuan .Sekiranya seseorang mampu berdiri di sepanjang solat maka wajib ke atasnya berbuat demikian. Sekiranya hanya mampu berdiri pada bahagian tertentu dalam solat maka wajib berbuat demikian sekadar yang mampu.
Bagi situasi yang dinyatakan di atas, tuan boleh duduk sekiranya terdapat halangan untuk terus berdiri seperti sudah tidak bermaya, pening, sakit atau mengalami mudharat yang lain. Sekiranya hilang halangan untuk berdiri, maka wajib berdiri semula. Sekiranya waktu rukuk tuan sudah berkemampuan berdiri semula, maka wajib berdiri dan rukuk dalam keadaan berdiri. Sebaliknya jika masih tidak berkemampuan maka diharuskan rukuk dalam keadaan duduk.
Kaedah menyebut الضرورة تقدر بقدرها yang bermaksud keadaan dharurat hanya pada kadarnya sahaja. Keringanan disebabkan dharurat hanya ketika berlaku dharurat sahaja dan tidak boleh diteruskan sekiranya dharurat telah hilang.
والله أعلم بالصواب