Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.. saya nk bertanya.. semasa saya sebelum berkahwin dengan suami.. saya ada bergaduh besar sehinggakn terlepas perkataan 'kalau aku dengan kau lg aku kafir' .. persoalannya adakah sah perkahwinan saya..lafaz itu hanya kerana amarah yg terlampau dan tidak beniatkn apa apa.. saya tidak mengingati sempat bertaubat sebelum berkahwin.. adakah sah perkahwinan saya
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Dalam menjawab persoalan puan di atas, ayat tersebut dilafazkan dalam keadaan fikirannya sedang terganggu, marah dan tidak berniat apa-apa selain marah dan emosi terganggu. Maka dalam situasi seumpama ini, ia boleh dikategorikan sebagai tersilap, tersalah atau tidak disengajakan kerana hati tidak tetap (istiqrar) dengan maksud kekufuran. Ia bersandarkan firman Allah SWT dalam surah al Ahzab ayat 5:
وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Juga sebagaimana hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya. (Riwayat Ibn Majah)
Walau bagaimanapun, sebagai langkah "ikhtiati" (berhati-hati) dinasihatkan kepada orang yang mengalami situasi sebegini agar memohon taubat kepada Allah SWT dengan beristighfar dan memperbaharui dua kalimah syahadahnya. Ia bertepatan dengan hadis yang sentiasa memerintahkan kita agar sentiasa memperbaharui keimanan. Hadis daripada Abi Hurairah R.A, Sabda Rasulullah SAW :
جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ "، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: " أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ
Maksudnya: Perbaharuilah iman kamu. Dikatakan: Wahai Rasulullah, bagaimana kami mahu memperbaharui keimanan kami? Baginda menjawab: Perbanyakkan mengucap La Ilaaha Illallah. (Riwayat Imam Ahmad)
Oleh yang demikian, sebagaimana keterangan di atas, maka dapat difahami bahawa akad pernikahan puan bersama suami adalah sah. Ini kerana lafaz yang puan ungkapkan itu adalah lafaz yang tidak disengajakan atau terlepas kata sahaja, yang mana ia tidak menjejaskan keimanan dan keyakinan puan yang thabit atau kukuh terhadap Allah SWT di dalam hati puan.
والله أعلم بالصواب