Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya ingin bertanya tentang hukum melukis. Setahu saya melukis gambar adalah haram sekiranya kita melukis makhluk hidup seperti manusia & haiwan. Manakala pula kalau melukis perkara fiksi, benda atau makhluk yang tidak wujud? Adakah ia juga dikira haram? Sekian terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, memetik pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qardawi, beliau mengatakan: “Hukum melukis sesuatu yang bernyawa seperti manusia dan haiwan menjadi khilaf di kalangan para ulama’. Jumhur mengatakan bahawa ianya haram dan sebahagian para ulama’ mengatakan ianya dibolehkan. Apa pun, penggunaan lukisan dalam media massa dengan tujuan berdakwah dan pembelajaran tidak termasuk dalam yang diharamkan bahkan sesuatu yang dituntut oleh syara’ sekiranya menjadi medium yang amat penting dalam menyampaikan dakwah dan ilmu yang bermanfaat kepada manusia dan ini tidaklah menjadi gambar yang haram padanya sepertimana gambar-gambar yang mengangkat sesuatu yang tidak bermoral, kezaliman dan gambar-gambar yang tidak senonoh.” Seterusnya beliau memberikan beberapa justifikasi terhadap pendapatnya itu, dan secara ringkasnya adalah seperti berikut: 1. Sesungguhnya lukisan kartun bukanlah lukisan yang sempurna bahkan ianya gambar yang mempunyai ciri yang tersendiri dan tidak ada padanya ciri-ciri gambar yang hakiki. 2. Penggunaanya adalah untuk berdakwah dan juga pendidikan (tarbawiyyah) dan anak-anak kecil menerimanya, mengikutinya dan terkesan dengannya. Sewajarnya ke atas kita untuk tidak mengabaikan wasilah ini dan kita perlu menggunakannya di dalam pengajaran kanak-kanak apa yang sepatutnya dipelajari melalui akidah dan sebagainya. 3. Manusia yang lainnya telah menggunakan metod ini sekian lamanya dan jika melihat kepada trend sedia ada ianya seolah-olah telah menjadi ‘makanan ruji’ bagi kanak-kanak yang sedang membesar seharian dengan program animasi-animasi yang di tayangkan di kaca televisyen. Sekiranya tiada inisiatif untuk menggantikannya dengan animasi yang lebih islamik dan sarat dengan maklumat pasti ianya merugikan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.