Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, suami saya sudah meninggal pada 29.06.2023 dan meninggalkan 2 anak lelaki, 1 anak perempuan. Selepas meninggal, saya dapat graduiti dan ganjaran. Disebabkan semua ini bukan harta yang difaraidkan jadi saya telah bahagi-bahagikan duit tersebut pada anak-anak saya. Sebahagian untuk wakaf dan lain-lain perbelanjaan. Selepas duit habis, secara kebetulan ada seorang perempuan yang saya kenali telah memberitahu saya, dia telah menikah dengan arwah suami saya pada 05.08.2022 secara illegal (tidak sah). Tiada apa-apa dokumen. Berita ini disahkan oleh seorang kawan arwah yang mengikutinya semasa majlis pernikahan tersebut. Belum sempat didaftarkan, suami saya telah meninggal dunia. Persoalan yang ingin diajukan ialah adakah isteri yang baru dinikahi itu ada hak ke atas harta seperti graduiti, ganjaran dan pencen terbitan yang telah saya dapat? Saya dahului dengan ucapan terima kasih atas kesudian menjawab persoalan saya.
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Graduiti, ganjaran dan pencen terbitan bukanlah harta pusaka si mati yang tertakluk kepada pembahagian secara faraid. Ganjaran-ganjaran tersebut merupakan pemberian kepada waris si mati yang tertakluk kepada undang-undang atau Akta Pencen. Antara syarat yang ditetapkan adalah pernikahan antara suami dan isteri itu pernikahan yang sah dari segi syarak dan telah didaftarkan secara rasmi. Di samping itu, maklumat mengenai isteri serta anak-anak perlu dimasukkan ke dalam rekod peribadi pejawat awam (si mati) untuk melayakkan mereka menerima ganjaran-ganjaran tersebut.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, mana-mama wanita atau isteri yang ingin memohon ganjaran-ganjaran tersebut perlu mendatangkan dokumen yang diperlukan kepada pihak yang berkenaan untuk pengesahan. Seandainya syarat-syarat yang dinyatakan tidak dipenuhi, maka wanita itu tidak berhak untuk mendapat ganjaran-ganjaran tersebut. Terpulang kepada budi bicara pihak puan untuk berkongsi ganjaran tersebut ataupun tidak.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.