Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan. Saya ingin bertanya, apakah hukum bergurau mengatakan duit yang didapatkan itu dari sumber haram seperti mengatakan "aku menang no ekor" walaupun sebenarnya tidak. Apakah wang tersebut menjadi haram untuk digunakan? Dan bagaimana jika wang tersebut disedekahkan/dihadiahkan? Apakah penerima wang tersebut boleh memggunakannya? Jika tidak apa yang harus dilakukan dengan wang yang diterima tersebut? Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Bergurau secara asasnya adalah harus sebagaimana Rasulullah SAW juga bergurau bersama para Sahabat, isteri dan keluarga Baginda. Namun harus diteliti adalah adab ketika bergurau atau melawak. Antara adab ketika bergurau yang paling penting adalah tidak menipu dan berdusta ketika berlawak.
Daripada Bahz bin Hakim berkata: Ayahku menceritakan kepadaku, daripada datukku, yang berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:
وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ بِالحَدِيثِ لِيُضْحِكَ بِهِ القَوْمَ فَيَكْذِبُ، وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ
Maksudnya:Celakalah bagi orang yang bercakap suatu percakapan agar orang ramai tertawa dengan pembohongan. Celakalah baginya! Celakalah baginya! (Riwayat al-Tirmizi).
Berdasarkan persoalan tuan, hukum duit itu masih halal berdasarkan sumber yang diperolehi tidak berpunca dari sesuatu yang haram atau melanggar syarak. Oleh itu, tuan harus untuk menggunakan wang tersebut untuk membeli barangan, bersedekah, memberi hadiah dan sebagainya.
والله أعلم بالصواب