Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu'alaikum, ayah saya pernah terjumpa barang kemas di tepi sewaktu kami tinggal di Selangor dahulu. Peristiwa ini berlaku berbelas tahun yang lepas sudah, dan memang tidak diketahui siapa pemiliknya. Mengikut hukum hakam Islam, apakah yang kami perlu lakukan dengan barang kemas ini?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa di sisi syarak barang kemas yang dijumpai tersebut digelar sebagai harta luqatah yang bermaksud barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik dan tidak diketahui hak miliknya.
Menurut Syeikh Mustafa Bugha, harus hukumnya seseorang mengambil barang tersebut dan menjaganya. Pendapat ini selari dengan pandangan jumhur mazhab Syafie dan mazhab Hanafi kerana ia bersandarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid, di mana Rasulullah SAW bersabda ketika ditanya mengenai luqatah:
Maksudnya: Kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya, sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya. (Riwayat Muslim)
Justeru, barang kemas yang dijumpai tersebut boleh dibuat hebahan melalui mana-mana platform media sosial seperti seperti facebook, whatsapps dan lain-lain. Sekiranya masih belum dijumpai pemiliknya atau tidak dituntut dalam tempoh tertentu, maka dibenarkan untuk menggunakannya. Namun, sekiranya ia dituntut di kemudian hari, perlulah mengembalikannya semula. Walau bagaimanapun, sebaiknya harta luqatah tersebut diserah kepada pihak berautoriti seperti Baitulmal bagi menjamin keselamatan dan ia boleh digunakan untuk kemaslahatan umum.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 31 Mac 2011 memutuskan bahawa pelaksanaan pengurusan dan pelupusan Harta Luqatah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:
i. Setiap Harta Luqatah yang diterima hendaklah dilaksanakan proses hebahan selama satu tahun. Sekiranya telah tamat tempoh selama satu tahun, maka bolehlah melupuskan Harta Luqatah tersebut secara lelongan dan hasil dari lelongan itu dimasukkan ke dalam Baitulmal;
ii. Harta Luqatah yang tidak mendatangkan manfaat hendaklah disimpan di tempat yang selamat;
iii. Sekiranya Harta Luqatah tersebut sama ada masih kekal atau telah dilelong atau telah dicairkan, pemiliknya berhak menuntut walau pun telah tamat tempoh hebahannya. Pihak Majlis Agama Islam Selangor hendaklah memulangkan semula sekiranya harta tersebut masih ada atau nilai barang (mengikut nilai semasa) jika telah dilelong atau dicairkan;
iv. Pemungut atau pemegang amanah Harta Luqatah harus mengenakan caj perkhidmatan yang munasabah kepada pemilik Harta Luqatah tersebut sekiranya pemilik hadir untuk memungut harta;
v. Harta Luqatah tersebut harus diserahkan kepada Baitulmal sebagai pemegang amanah. Adalah menjadi kewajipan menyerah kepada Baitulmal apabila tiada individu atau agensi yang sanggup menjadi pemegang amanah; dan
vi. Harta Luqatah tersebut menjadi milik sepenuhnya kepada pemegang amanah atau pemungut untuk dimanfaatkan kepada perkara yang tidak bercanggah dengan syarak dan ada kemaslahatan kepada umat Islam.
Untuk mengetahui lebih lanjut kaedah pengurusan dan serahan harta luqatah sila layari laman berikut: https://mais.gov.my/harta-luqatah/