Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya tentang hal najis.Saya mempunyai hobi akuaskap dan membela udang serta ikan kecil dalam akuarium yang sederhana besar (kurang 2 kolah air).Suatu hari sewaktu membersihkan akuarium saya, pakaian saya terkena percikan air akuarium sehingga baju saya terlihat basah.Air yang terkena itu tidak mempunyai bau,rasa mahupun warna.
Adakah sah pakaian saya itu digunakan untuk menunaikan solat?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, bau, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, warna dan rasa.
Merujuk kepada persoalan tuan, mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie, sekiranya air di dalam akuarium yang sedikit (kurang dua kolah) tersebut mengandungi najis ikan, maka air percikan yang terkena pada pakaian dikira sebagai najis dan hendaklah disucikan dengan melalukan air mutlak ke atasnya. sehinggalah hilang bau, warna dan rasa. Namun sekiranya najis tersebut itu sedikit sehingga tidak dapat dilihat oleh mata, maka ia dimaafkan oleh syarak. Begitu juga air percikan yang terlalu sedikit yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar maka ia juga dimaafkan oleh syarak.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.