BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamulaikum Dato mufti,

Di Malaysia ada pelbagai jabatan mufti dan pandangan ulama'(fatwa) mengikut jabatan mufti masing-masing.

1. Persoalan saya, bolehkah kami orang awam pilih fatwa/pandangan sesuatu hukum mengikut kesenangan atau dalam erti lain mana yang mudah pada kami. Adakah berdosa buat bergitu? 

2. Selain itu, bagaimana kami nak praktiskan/guna pakai fatwa sesuatu negeri? contohnya jika masuk Selangor hanya guna selangor saja negeri lain tidak boleh digunakan terutama permasalahan khilaf ulama' begitu ke Dato mufti?


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Berdasarkan soalan yang dikemukakan, ingin kami jelaskan terlebih dahulu bahawa merujuk kepada pengamalan perundangan di Malaysia berkaitan fatwa adalah tertakluk di bawah peruntukan Undang-Undang Pentadbiran Hal Ehwal Islam setiap negeri. Setiap negeri memperuntukkan bahawa sesuatu fatwa yang diwartakan itu adalah mengikat semua pihak di bawah bidang kuasa negeri tersebut. Misalnya, sesuatu fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan diwartakan mempunyai kesan perundangan malah setiap orang Islam yang berada di Negeri Selangor hendaklah mematuhi dan berpegang dengan fatwa berkenaan. Pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau mana-mana pihak yang berautoriti boleh mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap fatwa yang telah diwartakan. Selain itu, merujuk kepada seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan mana-mana individu yang menghina kuasa yang sah atau mengingkari, melanggar atau mepertikaikan perintah atau arahan Mufti yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3000 atau dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, bagi menjawab kedua-dua soalan yang dikemukakan, dapat dirangkumkan bahawa masyarakat awam di Malaysia perlu merujuk dan mengikut Pejabat Mufti atau Jabatan Agama Islam Negeri (tempat ia menetap) untuk mengetahui sebarang hukum hakam fiqh kerana urusan agama di Malaysia adalah tertakluk di bawah bidang kuasa dan undang-undang Islam negeri masing-masing. Oleh yang demikian, orang Islam yang bermastautin di sesuatu negeri hendaklah mematuhi dan berpegang dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti negeri tersebut. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Nisa ayat ke-59:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad) dan Ulil Amri (pemegang kekuasaan) antara kamu.

Berdasarkan ayat ini Imam Baidhawi menerangkan maksud ulil amri itu ialah para pemimpin Muslimin pada zaman Rasulullah SAW dan selepasnya termasuklah para khalifah, para qadhi, dan ketua-ketua tentera. Allah SWT memerintahkan umat Islam agar mentaati mereka selagi mana mereka berada dalam kebenaran.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 100

message user image