Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Hi, saya ingin bertanya mengenai bulu anjing yg tersentuh dengan pakaian saya tapi tidak mengatahui status baju saya sama ada kering atau basah (saya meredah hujan). Saya telah menaiki kenderaan rakan non muslim dan beliau ada menyatakan anjing ada dibawa masuk di dalam keretanya. Rakan saya risau akan kehadiran bulu anjing di dalam keretanya dan meminta saya berhati hati jika mendapati ada bulu anjing. Pada awalnya saya mendapati ada sehelai bulu putih yang saya menganggap hanya sekadar habuk di dalam kereta. Berbulan kemudian was was saya datang apabila saya mendapati anjing beliau berwarna putih dan mungkin apa yg saya lihat di dalam keretanya adalah bulu anjing peliharaannya. Persoalan saya,
1) adakah perlu saya menyertu pakaian saya yg telah duduk di atas "sehelai" bulu itu dalam keadaan baju yg lembap ? Kerana ada pendapat mengatakan sekiranya bulu anjing jumlahnya sedikit dan bukan setompok tidak perlu disertu?
2) Dan bagaimanakah status baju saya yang dibasuh bersama ketika itu kerana perkara tersebut telah lama berlaku?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna dan rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna.
Oleh itu, bagi persoalan ditimbulkan:
1) Tidak perlu disertu kerana perkara telah berlaku berbulan yang lalu. Dalam situasi berbulan yang lalu juga puan tidak dapat meyakini sama ada baju tersebut basah ataupun kering. Sehubungan itu, jika ianya hanya sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan".
Ini adalah kerana pada asalnya, sesuatu itu adalah suci dan tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.
2) Baju tersebut kekal suci dan tidak menajiskan pakaian yang lain apabila dibasuh bersamanya.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.