Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan. Saya ingin bertanya 1) Jika anjing melalui semak samun dan lalang/rumput mengenai anjing tersebut, apakah ianya menjadikan lalang/rumput tersebut bernajis? Bagaimana jika rumput/lalang tersebut basah? Dan apakah jika saya melalui kawasan semak yg dilalui anjing itu setelahnya akan menyebabkan kaki, seluar dan kasut saya wajib disertu? Ini kerana saya harus melalui semak itu untuk keluar dari pagar rumah saya. Saya melihat anjing itu dalam keadaan kering kerana sewaktu anjing itu bangun dari lantai beranda, tidak ada sebarang kesan basah pada lantai tersebut. Manakala saya melihat dengan mata kasar bahawa rumput/lalang yg dilalui itu kering. Tapi saya risau jika pada hakikatnya rumput itu basah kerana berlaku hujan dalam 6-9 jam sebelumnya. Apakah perlu saya memeriksa rumput/lalang itu dengan tangan saya apakah basah atau kering atau cukup beranggapan yang ianya kering berdasarkan apa yang saya lihat secara kasar? Kerana jika berdasarkan apa yang saya lihat secara kasar, anjing dan rumput itu kering dan tidak berlaku pemindahan najis. Tapi yang saya risaukan adalah jika rumput itu sebenarnya basah kerana hujan beberapa jam sebelumnya tetapi saya tidak menyedarinya.
2) Bolehkah orang awam yang mempunyai penyakit was-was mengenai najis anjing dan babi seperti saya ini bertafliq pada pandangan mazhab maliki, yang berpendapat yang anjing dan babi itu bukan najis mughallazah? Tetapi dalam bab mandi wajib, wudhu, taharah, solat dan lain lain mengikut mazhab syafie. Ini kerana saya sering mengalami was was yang teruk mengenai najis anjing dan babi sehinggakan tertekan dan sedih kerana berfikir yang amal saya tidak diterima kerana berasa diri dalam keadaan bernajis berat. Mohin penjelasannya tuan. Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna.
Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan:
الأصل في الأشياء الطهارة
Maksudnya: "Hukum asal segala sesuatu adalah suci". Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqah yang lain juga ada menyatakan bahawa:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan". Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.
Oleh itu, merujuk kepada persoalan puan;
1. Berpegang kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu seperti bau, rasa dan warnanya, maka tiada najis pada seluar atau kasut sekalipun telah melalui kawasan yang berumput tersebut.
2. Tidak perlu untuk mengikut kepada pandangan mazhab selain mazhab Syafie berkaitan kenajisan anjing. Malah, perkara pertama yang perlu diambil perhatian adalah berkenaan was-was yang sering menjadi masalah sehingga seolah-olah menjadi batu penghalang untuk melakukan apa sahaja pekerjaan. Ke semua ini berlaku adalah kerana kekurangan ilmu dan tidak melakukan persediaan secukupnya agar penyakit was-was ini boleh dijauhi. Perbuatan sertu dilakukan apabila yakin terdapatnya najis sama ada pada pakaian, kulit atau kasut sahaja.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.