Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum...saya nak tanya,dekat jalan yang saya selalu lalu masih lagi berbaki bangkai anjing yang dah melekat kat jalan...adakah perlu untuk saya samak tayar dan kereta bila saya lalu dekat situ...setahu saya kalau kering dgn kering najis tak berpindah...tapi bila tayar saya basah sebab langgar lopak air pastu saya lalu dibangkai yang melekat dijalan tu macam mana hukum nye ye.... jazakallah khair
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas padanya terdapat najis. Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih itu. Sebagaimana kaedah fiqh:
اليقين لا يزال بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).
Oleh itu, merujuk kepada persoalan tuan tidak perlu sertu tayar kereta tersebut sekiranya tidak dapat dipastikan telah terkena najis atau terdapatnya najis pada tayar kereta tersebut. Jika benar sekalipun, ia dikira umum al-balwa atau perkara yang sukar untuk dielakkan dan ia adalah dimaafkan. Tambahan pula, tayar itu sudah pasti terkena air dan tanah dalam perjalanan. Maka, tidak perlu untuk disertu tayar tersebut.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.