BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Apakah hukum suntikan insulin sewaktu ibadah puasa?

Merujuk kepada persoalan penggunaan insulin sewaktu menjalani ibadah puasa, setakat ini terdapat dua kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Maktabah Al-Bakri [1],[2]. Kedua kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa suntikan insulin pada bahagian perut membatalkan ibadah puasa. Oleh itu, persoalan ini bertujuan untuk berkongsi maklumat dan mendapatkan pandangan Jabatan Mufti Negeri Selangor mengenai hal tersebut. 

Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan umat Islam yang mengalami diabetes menjalani ibadah puasa sewaktu bulan Ramadan. Di Malaysia, kadar penggunaan insulin di kalangan pesakit diabetes adalah tinggi iaitu 30 peratus. Penggunaan insulin adalah penting bagi mengawal bacaan gula dalam darah, bagi mengelakkan kerosakan kepada tubuh badan. 

Sebahagian besar insulin yang digunakan di Malaysia memerlukan pesakit menyuntik insulin 30 minit sebelum makan untuk berfungsi dengan berkesan. Makanan sewaktu berbuka kebiasaannya mengandungi gula yang tinggi. Oleh itu, adalah penting bagi pesakit diabetes untuk mengambil insulin 30 minit sebelum berbuka puasa bagi mengelakkan kawalan paras gula yang tidak terkawal.  

 

 

Insulin berfungsi sebagai kunci untuk membuka pintu sel-sel dalam tubuh, membolehkan glukosa masuk dan digunakan sebagai sumber tenaga. Apabila seseorang makan, tahap glukosa dalam darah meningkat. Pankreas mengesan peningkatan ini dan melepaskan insulin ke dalam darah. Insulin kemudian membantu sel-sel untuk menyerap glukosa, mengurangkan tahap gula dalam darah dan menyimpannya sebagai tenaga atau glikogen. Ini membantu mengekalkan keseimbangan gula dalam darah dalam kadar normal. Pada individu dengan diabetes, proses ini mungkin terganggu, menyebabkan masalah pengawalan gula dalam darah.

Insulin disuntik ke dalam lapisan lemak di bawah kulit, yang dikenali sebagai suntikan subkutan. Ini membolehkan insulin diserap secara perlahan dan berkesan ke dalam aliran darah. Suntikan insulin ke otot atau saluran darah tidak sesuai dan boleh menyebabkan penyerapan yang tidak terkawal, yang mungkin membahayakan. Suntikan subkutan di tempat seperti perut, paha, atau lengan adalah kaedah biasa dan selamat untuk menguruskan insulin bagi individu dengan diabetes. Sasaran suntikan insulin bukan kepada rongga usus. 

Kesimpulannya, kefahaman pengamal perubatan adalah suntikan insulin tidak memberikan tenaga kerana insulin hanya membolehkan tenaga sedia ada pada badan manusia digunakan oleh sel-sel badan. Suntikan insulin juga tidak bertujuan untuk masuk ke rongga usus kerana peranan insulin adalah pada peringkat sel-sel di seluruh badan. Memandangkan Ramadan 1445 sudah tidak lama lagi, adalah penting bagi pengamal perubatan untuk mempersiapkan pesakit diabetes mulai sekarang. 

Wallahua’lam


[1] https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/3095-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-110-hukum-suntik-insulin-bagi-pesakit-diabetes-kronik-di-bulan-ramadhan

 

[2]https://maktabahalbakri.com/1005-orang-berpuasa-mengambil-suntikan-insulin/

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan Dr; secara asasnya antara perkara yang membatalkan puasa dalam bab suntikan ialah suntikan yang mengandungi khasiat dan memberi tenaga kepada badan dan suntikan itu dilakukan melalui urat atau bahagian yang boleh sampai kepada rongga.

Berbalik kepada persoalan tentang suntikan insulin ini termasuk dalam suntikan yang dilakukan untuk tujuan perubatan. Maka, untuk tujuan ini, meskipun suntikan tersebut tidak mengandungi khasiat menurut pandangan yang sahih dalam mazhab Syafi'i suntikan pada urat atau bahagian yang boleh sampai kepada rongga ketika berpuasa boleh membatalkan puasa seseorang maka ihtiyat atau langkah berjaga-jaga daripada melakukan suntikan di bahagian yang hampir dengan rongga terutama di bahagian perut dan punggung lebih dekat dengan usus lebih utama. Melainkan doktor dapat memastikan suntikan tersebut boleh dilakukan tanpa masuk ke dalam rongga iaitu hanya insulin itu masuk melalui bawah kulit sahaja. Oleh itu, tidak menjadi masalah kepada pesakit untuk teruskan berpuasa kerana puasanya sah.

Adapun suntikan insulin pada anggota badan yang lain seperti peha atau lengan yang hanya masuk melalui bawah kulit sahaja maka ianya tidak membatalkan puasa. Maka, memilih bahagian ini paling ahwath (selamat dan berhati-hati). 

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 298

message user image