Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya pernah bernazar untuk menderma kepada pusat tahfiz sebanyak RMxxx sebulan sekiranya doa saya yang tertentu dimakbulkan. Alhamdulillah, doa tersebut termakbul. Saya telah menunaikan nazar saya untuk sekian lama sehinggalah saya hilang punca pendapatan kerana faktor kesihatan. Dalam keadaan ini, bolehkah saya dikecualikan untuk meneruskan nazar tersebut sehingga saya dapat bekerja semula (sekiranya diizinkanNya) dan menerima gaji untuk meneruskan nazar saya, ataupun dibolehkan untuk menderma dalam jumlah yang lebih kecil yang termampu oleh saya?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Nazar dari sudut istilah ialah apa yang disebutkan oleh para ulama’ iaitu:
اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء
Maksudnya: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah yakni mendekatkan diri dengan Allah yang tidak ditentukan dalam syarak’, sama ada secara mutlak atau pun dengan mentakliqkan iaitu mengaitkan dengan suatu perkara.
Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk menunaikan nazar yang telah dilafazkan sepertimana firman Allah SWT dalam surah Al Hajj ayat ke 29 :
وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
Maksudnya: dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka
Menjawab soalan yang diajukan, lihat kepada keadaan ketidakmampuan itu. Sekiranya ketidakmampuan itu tidak berterusan, maka boleh ditangguhkan atau membayar sekadar yang mampu. Apabila kemampuan telah kembali, maka jumlah yang tidak terbayar sebelum itu dianggap tertunggak dan perlu dibayar. Namun sekiranya ketidakmampuan itu berterusan dan tidak ada harapan untuk kembali, maka saudari hendaklah membayar kaffarah yamin iaitu:
1) Memerdekakan hamba (sekiranya ada).
2) Memberi makan kepada sepuluh orang miskin atau
3) Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin atau
Jika ketiga-tiga perkara di atas tidak mampu untuk ditunaikan, maka perlu untuk berpuasa selama tiga hari.
Pembayaran kafarah boleh dibayar kepada pihak berwajib seperti Majlis Agama Islam Negeri.
والله أعلم بالصواب