BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya jika anjing memijak permaidani yang basah/ lembab apakah perlu sertu bahagian yg dipijak sahaja atau apakah najis tersebut menyebar ke keseluruhan permaidani kerana basah? Apakah perlu menyertu keseluruhan nya? Saya tidak pasti bahagian permaidani yang mana telah dipijak anjing tersebut dan saya menyentuh di bahagian yang saya yakini anjing tidak memijaknya tetapi permaidani tersebut basah keseluruhannya. Jadi saya khawatir jika najis tersebut menyebar ke keseluruhan permaidani dan kemudian saya memegangnya tanpa menyertu kedua tangan saya setelahnya. Mohon penjelasan apakah najis tersebut menyebar ke keseluruhan permaidani tersebut atau tidak? Saya makin bertambah risau kerana saya memegang permaidani itu dalam keadaan permaidani itu basah/lembab tetapi tidak menyertu tangan saya setelah menyentuhnya. Hanya cuci menggunakan air mutlak sekali sahaja.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Merujuk kepada persoalan, perintah menyertu sesuatu barang yang terkena sentuhan anjing adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah. (Riwayat Muslim)

Namun begitu, perlu difahami bahawa berlaku basuhan atau sertu adalah jika bersentuhan di antara sesuatu yang kering dengan basah atau basah dengan basah. Adapun sesuatu yang kering bersentuhan dengan kering tidak disyaratkan basuhan dan sertu.

Maka dalam hal ini, permaidani tersebut perlu disertu pada kawasan yang diyakini terkena pijakan anjing yang terdapat kesan pijakan sahaja. Adapun kawasan selain daripadanya tidak disyaratkan disertu.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 151

message user image