Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada pertanyaan tentang hukum (berkaitan dengan anak berumur 2 tahun kebawah)berkenaan beberapa isu:
1. Saya solat dan anak saya selalu bermainn ditempat saya solat dan kadang ingin diangkat ketika saya solat. Persoalan saya , jika pergerakkan saya mengangkat anak atau ketepilkan anak ketika solat membatalkan solat saya sbb lebih 3 kali pergerakkan?
2. Jika anak masih berpampers adakah najis anak (jika saya yakin ada najis)boleh batalkan solat saya jika dia bermain dan diangkat?walaupun tidak kena pada pakain
3. Adakah membersihkan kemaluan anak/bayi membatalkan wudhuk saya ?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umum solat hendaklah didirikan dalam keadaan tenang serta mengelakkan diri dari sebarang pergerakan yang tidak ada kaitan dengan solat, oleh itu persediaan untuk solat bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi memastikan setiap perkara di sekeliling orang yang bersolat tidak mendatangkan gangguan ketika solat sedang ditunaikan. Berdasarkan pertanyaan di dalam soalan yang diajukan:
1. Pergerakan mengangkat anak ada kaitannya dengan sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Abi Qatadah Al-Ansari RA beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menunaikan solat dalam keadaan baginda memikul/mendukung Umamah Binti Zainab Binti Rasulillah SAW dan dia merupakan anak kepada Abu Al-‘Ash bin Rabi’ah bin ‘Abd Syams. Apabila Baginda sujud, Baginda meletakkannya. Dan apabila Baginda berdiri, Baginda mendukungnya. (Riwayat al-Bukhari)
Begitu juga berdasarkan sebuah riwayat lain yang juga daripada Abu Qatadah RA beliau berkata:
Maksudnya: Aku melihat Rasulullah SAW menjadi imam kepada orang ramai dalam keadaan beliau mendukung Umamah binti Abi Al ‘Ash di atas tengkuk Baginda. Apabila Baginda rukuk, Baginda meletakkannya dan apabila Baginda bangun Baginda mengangkatnya semula. (Riwayat al-Nasai)
Hadis di atas, menggambarkan tentang ketinggian sifat rahmat dan kasih sayang Baginda SAW kepada cucu, kaum keluarga, serta anak-anak kecil.
Imam Al-Nawawi Rahimahullah dalam kitab Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim ketika mensyarahkan hadis ini beliau mengeluarkan beberapa pandangan. Kata beliau: Pada hadis ini terdapatnya dalil tentang sahnya solat seseorang yang memikul anak Adam, atau haiwan yang suci seperti burung ataupun kambing dan selainnya. Selain itu, pakaian dan jasad anak-anak kecil adalah bersih sehinggalah dikenalpasti kenajisannya. Dan sesungguhnya perbuatan yang sedikit itu tidak membatalkan solat, serta perbuatan itu sekiranya dilakukan berkali-kali akan tetapi tidak secara berturutan, bahkan dilakukan secara berpisah (berasingan) tidak membatalkan solat. Dan pada hadis ini juga terdapat petunjuk akan sifat tawadhu’ bersama dengan kanak-kanak dan keseluruhan golongan yang lemah, menyayangi mereka serta saling berlemah lembut kepada mereka. Menurut mazhab Imam Al-Syafie, hadis ini menjadi dalil bahawa dibolehkan untuk memikul kanak-kanak kecil baik lelaki atau perempuan, dan juga haiwan yang suci di dalam solat fardhu dan juga solat sunat. Ia boleh dilakukan oleh imam dan juga makmum, serta orang yang solat sendirian.
2. Oleh itu, sah solat orang yang mendokong atau menepis anak dengan gerakan yang sedikit, bahkan dimaafkan jika pergerakan yang dilakukan adalah untuk menghalang dari berlaku sesuatu yang bahaya kepada anak. Jika seseorang itu solat dalam keadaan mendukung anaknya dan mengetahui bahawa lampin anaknya terdapat najis, maka tidak sah solat dalam keadaan mendukungnya. Ini adalah kerana suci daripada hadas dan najis merupakan syarat sah solat. Namun begitu, sekiranya dia tidak mengetahui bahawa anaknya sedang menanggung najis, maka solatnya adalah sah.
3. Membersihkan kemaluan anak kecil termasuk di dalam salah satu perkara yang membatalkan wuduk berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Busrah binti Sofwan RA, beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka berwudhu’lah. (Riwayat Abu Dawud)
Secara umum hadis di atas memberi panduan bahawa memegang kemaluan membatalkan wuduk seseorang baik yang dipegangnya itu kemaluannya sendiri atau bukan.
Sekian, terima kasih.