BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

1. a. Syarikat telekomunikasi yang mempunyai sijil patuhi syariah buat cabutan bertuah tapi syarat menyertai perlu topup telefon berjumlah RM30.

    b. Syarikat tersebut juga memberi point setiap kali topup dan boleh ditebus dengan barangan.

2. Menjawab soal selidik berbayar dengan memperolehi mata ganjaran. Cth: jawab  1 soalan dan kuiz dapat 15 point dan tambahan 3% boost  sebanyak 3 point. Jumlah 18 point.Bila sudah menjawab kaji selidik sehingga terkumpul 5000 point boleh ditebus RM4.

 

Apakah hukumnya bagi persoalan di atas.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

1. a. Semua jenis cabutan bertuah yang tidak memerlukan sebarang bayaran untuk menyertainya adalah halal dan harus. Ia adalah disepakati oleh ulama kerana melihatnya sebagai pemberian hadiah biasa dari satu pihak (yang memberi dan menawarkan). Tiada sebarang pihak akan menanggung kerugian walaupun tidak terpilih. Ketika itu tidak timbul isu memakan harta orang lain secara salah yang diharamkan dalam syariat Islam.

Sebagai panduan, beberapa kriteria asas boleh dijadikan panduan untuk kita mengetahui sesuatu cabutan bertuah yang dijalankan oleh pelbagai pihak itu haram atau sebaliknya adalah seperti berikut:

  1. Tidak mengandungi unsur judi.
  2. Hadiah yang diberi atas dasar rela hati dan redha penganjur itu sendiri.
  3. Tiada sebarang unsur yang boleh membawa mudarat dan penganiayaan kepada pelanggan disebabkan hadiah tersebut.
  4. Tiada unsur penipuan dan agenda-agenda tersembunyi.

Maka merujuk kepada persoalan, bayaran RM30 sebagai syarat menyertai peraduan bukanlah yuran penyertaan peraduan. Bayaran tersebut adalah bisnes biasa yang dilakukan antara pembeli dengan pihak syarikat telekomunikasi. Penyertaan peraduan adalah hibah daripada pihak syarikat bagi pelanggan yang membeli RM30 dan ke atas. Justeru itu, ia tidak dikira sebagai satu bentuk perjudian.

    Bagi menjawab soalan 1. b. dan 2.

Mata ganjaran (point) dianggap sebagai hadiah yang diberikan oleh syarikat kepada pelanggan dan ia dibenarkan oleh Syarak selama mana mematuhi garis panduan berikut -

  1. Transaksi atau perbelanjaan itu adalah sah dan patuh Syariah;
  2. Hadiah atau barangan yang ditebus adalah perkara yang harus dan bukan haram;
  3. Mata ganjaran itu diberikan secara percuma dan tiada bayaran yang dikenakan kepada pelanggan;
  4. Tiada penipuan yang dilakukan oleh syarikat dalam proses pemberian mata ganjaran seperti menaikkan harga barangan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 356

message user image