BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan pegawai Pejabat Mufti Selangor. Saya ada 2 soalan tetapi saya hurai sedikit.

1. Seluar saya lembab kerana menunggang motor dalam hujan.

Selepas beberapa jam baru saya tahu bahawa seluar saya bernajis sebab silap basuh.

Adakah najis sudah tersebar di semua tempat yang bersentuhan dengan seluar saya. 

Bagaimana pula dengan penyakut baju dan tempat sidaian pakaian saya yang silap cuci tadi?. Adakah baju lain yang lembab akan turut menjadi najis bila saya sidai di situ.

Saya pun rasa keberatan nak bersihkan banyak tempat.

 

2. Saya juga ada mendengar ada ustaz cakap jika najis hukmiyah dilantai dipijak oleh kaki basah maka hanya kaki tersebut bernajis dan najis di kaki itu tidak tersebar ke tempat lain walaupun dalam keadaan basah . adakah ianya betul?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Pada asasnya najis adalah sesuatu yang kotor dan ianya wajib dibersihkan dan disucikan. Ini berdasarkan kepada umum perintah Nabi SAW untuk membersihkan air kencing seorang badwi yang terdapat di masjid Nabawi. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

وَأَهْرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ أَوْ سَجْلًا مِنْ مَاءٍ فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ

Maksudnya: Siramkanlah kencing tersebut dengan sebaldi air atau sebekas besar yang penuh dengan air. Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak diutuskan untuk menyusahkan. (Riwayat al-Bukhari)

Najis hukmi adalah najis yang telah hilang ain serta sifatnya seperti warna, bau dan rasa. Menurut mazhab Syafi'i, najis hukmi tidak boleh berpindah kenajisannya melainan dalam keadaan basah atau lembab.   

Merujuk kepada persoalan yang diajukan:

1) Seluar yang bernajis tersebut perlu dijelaskan apa yang dimaksudkan dengan tersalah basuh serta perlu dinyatkan sebab ianya bernajis sama ada hanya sekadar najis pertengahan atau berat. Sekiranya ianya najis pertengahan cukup sekadar dibasuh dengan air mutlak. Jika berat, ia perlu disertu dengan 7 kali basuhan yang salah satunya dengan air tanah.

2) Kaki yang basah terpijak najis hukmi yang telah kering mengakibatkan kaki tersebut menjadi mutanajjis atau terkena najis kerana telah bersentuhan dengan najis hukmi. Maka berlaku perpindahan najis melalui tapak kaki yang telah memijak najis hukmi dalam keadaan basah. Oleh itu, kawasan yang dipijak sahaja akan bernajis dan perlu disucikan dengan dibasuh atau dialirkan air mutlak ke atas tempat yang terkena najis sekadarnya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 194

message user image