Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamulaikum ustaz
1,Saya sewa satu bilik yang baru, saya duduki bilik itu tanpa membasuh lantainya, sekarang ini saya ragu atau was was lantai itu tidak suci dan saya was was najis itu merebak seluruh bilik apabila saya pijak dalam keadaan kaki basa. ,Adakah saya wajib membasuh lantaii bilik itu atau bagaimana hukumnya, adakah dihukumkan suci lantai itu sebab saya ragu dan tidak pasti adanya najis
2..Apa hukum menadah air hujan melalui saluran atap, kadang- kadang atas atap ada tahi burung, adakah air itu diangap suci, boleh digunakan untuk bersuci dan berwuduk dengan air itu,
Diharap pihak ustaz menjawabnya dengan segera mealaui email, sebab saya terlampau was was tentang bersuci, ketika solat dan tidur saya selalu memikirkanya bimbang solat tidak sah.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna atau bau. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing atau selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna.
Merujuk kepada persoalan tuan:
1) Islam menghukum berdasarkan sesuatu yang jelas sahaja. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu suci dan tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya kekal bersih dan suci.
Oleh itu, lantai bilik tersebut kekal bersih dan suci dan tidak perlu dibasuh melainkan jika terdapat najis pada lantai tersebut dan perlu dibasuh sehingga hilang bau, rasa dan warna najis tersebut.
2) Pada asalnya, sesuatu itu suci dan tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya kekal bersih dan suci.
Oleh itu, air yang jatuh dari bumbung itu adalah sesuatu yang dimaafkan oleh syarak dan tidak bernajis. Namun, adalah disarankan bagi mengelakkan berlakunya keraguan serta mengelakkan dari berlakunya gejala penyakit bawaan air yang tercemar, adalah sebaiknya tidak menadah air hujan yang turun melalui saluran atap. Bersuci dan berwuduk dengan air mutlak melalui paip air yang telah disediakan sama ada di bilik air untuk bersuci dan di tempat mengambil wuduk yang disediakan untuk berwuduk.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.