BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya ada persoalan. Andai kata semasa pergaduhan suami isteri melalui whatsapp dan isteri ada menyatakan "tengok apa saya buat dekat duit dan rumah sewa yang saya cari" kemudian suami membalas whatsapp dengan "kalau usik tu anggap cerai jelah". Adakah ini dikira taklik? Jika ini taklik, usik bagaimana yang dimaksudkan? duit apa yang dimaksudkan juga? Adakah ini bergantung kepada niat suami? Adakah perlu bertanya kepada suami dengan jelas apakah yang dimaksudkan?

Terima kasih atas jawapan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan, terdapat 2 hukum yang berkaitan iaitu :

1. Mana-mana lafaz cerai atau yang seumpama dengannya dan bila ia dihantar secara jelas pasti oleh seorang suami kepada isterinya melalui aplikasi whatsapp maka hukumnya adalah sama seperti talak atau cerai dengan tulisan atau bil kitabah, ia adalah termasuk dalam kategori talak secara kinayah atau kiasan. Oleh yang demikian, sekiranya ketika whatsapp itu ditulis, suami tersebut berniat cerai maka akan jatuhlah talak, dan sebaliknya jika suami itu tiada berniat cerai, mungkin hanya sekadar marah sahaja atau kerana perkara yang lain selain talak, maka ia tidaklah menyebabkan jatuh talak.

Ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59, talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e-mel dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ianya adalah sah sekiranya disertai dengan niat.

2. Sekiranya ketika whatsapp itu ditulis, suami memang berniat cerai, maka perkataan "kalau usik tu anggap cerai jelah"  boleh termasuk dalam cerai secara taklikTaklik bermaksud: menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “kalau usik tu anggap cerai jelah” atau sebagainya. Sekiranya berlaku perlanggaran pada syarat taklik tersebut maka boleh membawa berlakunya perceraian.

Walau bagaimanapun, memandangkan kuasa mengesahkan lafaz penceraian atau talak adalah bidang kuasa pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 128

message user image