Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wrh wbt,
Yang Dihormati SS Dato' Mufti,
Saya ingin bertanya tentang tabung infaq yang dibuka atas tujuan tertentu di masjid.
Situasi yang berlaku ;
Ajk masjid merancang untuk memasang bumbung tambahan di anjung masjid, dan projek tersebut memakan belanja sekitar RM120,000 namun hasil jumlah kutipan sebanyak RM69,000 shj. Seorang hamba Allah telah menawar diri untuk menaja pemasangan bumbung tambahan tanpa menggunakan duit kutipan infaq projek tersebut dengan kos yang tersendiri. Atas keperluan mendesak dan kesuntukan masa maka pihak masjid menerima tawaran tersebut.
Soalan :
Adakah boleh untuk menggunakan duit infaq yang tidak digunakan itu pada projek pembangunan yang lain?, seperti pembinaan bilik kuliah, menaiktaraf tandas, pembangunan fasiliti atau sebagaianya.
Mohon pencerahan daripada SS Dato' Mufti, terima kasih.
Jawapan
Pada asasnya, kutipan dana yang dikhususkan kepada sesuatu tujuan pembangunan tertentu hanya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan tersebut sahaja bagi meraikan niat penyumbang dana. Namun, seandainya terdapat lebihan daripada dana tersebut, diharuskan kepada pihak masjid untuk menggunakan dana tersebut bagi tujuan pembangunan masjid yang lain yang diputuskan melalui mensyuarat Jawatankuasa Pengurusan Masjid. Keputusan tersebut hendaklah dihebahkan kepada umum untuk makluman jemaah terutamanya para penyumbang dana.
Adalah disarankan untuk masa akan datang untuk membuat kutipan dana pembangunan secara umum tanpa dikhususkan kepada projek atau tujuan pembangunan tertentu sahaja. Seandainya terdapat keperluan untuk mengkhususkan kepada pembangunan tertentu, hendaklah dinyatakan juga secara jelas sekiranya terdapat lebihan daripada kutipan dana, ia boleh digunakan untuk pembangunan lain berdasarkan kepada keperluan semasa.
Di samping itu, disarankan kepada pihak pengurusan masjid untuk berusaha mempamerkan cash flow (aliran tunai) wang-wang sumbangan yang diberikan tersebut menerusi skrin-skrin layar atau ruangan iklan yang terdapat di kawasan masjid bagi menzahirkan ketelusan penggunaannya sekali gus memudahkan para jemaah mengetahui ke manakah wang itu disalurkan/ dimanfaatkan.