Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya bekerja di KL selama 8 bulan dan kemudia bekerja di Selangor selama 2 bulan dalam tahun ini. Sepanjang bekerja saya menetap di Selangor. Gaji yang saya dapat di KL melebihi nisab zakat pendapatan Wilayah Persekutuan KL untuk tahun 2023, tapi gaji yang saya dapat di Selangor tidak melebihi nisab zakat pendapatan Selangor untuk tahun 2023. Adakah saya hanya perlu bayar zakat pendapatan di KL? Atau adakah saya perlu juga bayar zakat pendapatan di Selangor? Mohon penjelasan, terima kasih.
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Pada asasnya pendapatan yang diperolehi oleh seseorang tidak diketegorikan berdasarkan kepada dari negeri mana pendapatan itu diperolehi. Pendapatan yang diperolehi dari negeri yang berbeza perlu digabungkan bagi menentukan sama ada ia memenuhi kadar nisab atau tidak. Seandainya jumlah itu mencukupi kadar nisab, maka zakat wajib dikeluarkan berdasarkan keseluruhan jumlah pendapatan yang digabungkan itu.
Persoalan di mana zakat itu perlu dibayar, terdapat dua pilihan. Pertama, zakat itu boleh dibayar di negeri di mana pendapatan yang paling banyak diperolehi iaitu di Wilayah Persekutuan. Kedua, membayar zakat berdasarkan kepada nisbah pendapatan yang diperolehi mengikut negeri. Sebagai contoh, sebagaimana kenyataan yang diberikan pendapatan 8 bulan di Wilayah Persekutuan dan 2 bulan di Selangor, maka saudari boleh membayar 80% zakat pendapatan di Wilayah Persekutuan dan 20% zakat pendapatan di Selangor.
والله أعلم بالصواب