BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam Ustaz,

Saya mengalami kencing tidak lawas tetapi ada masa boleh menahan air kencing. Ketika melakukan tawaf beberapa tahun dulu saya ada memasukkan sedikit kapas/tisu di dalam faraj bagi mengelakkan air kencing / angin daripada keluar. Adakah dengan memasukkan kapas atau tisu ke dalam faraj agak ke dalam ( bukan sekadar  melapik) membatalkan tawaf? Sebab saya ada terbaca tidak digalakkan menggunakan  tampon ketika tawaf.Sepanjang tawaf saya tidak merasakan ada apa2 yang keluar. Dan saya menggunakan niat wuduk mengangkat hadas kecil.

Mohon pencerahan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Para fuqaha’ meletakkan hukum bagi mereka yang terkena penyakit kencing tidak lawas  (سَلِسِ الْبَوْل) ini sama hukumnya dengan perempuan istihadhah (keluar darah). Mereka juga telah meletakkan beberapa garis panduan bagi golongan ini seperti berikut:

  • Hukum solat dan ibadah lain yang memerlukan wuduk tidak tergugur disebabkan penyakit kencing tidak lawas.
  • Perlu dibersihkan dahulu bahagian kemaluan daripada najis, lalu menutup bahagian kemaluan tersebut seperti memakai pantyliner atau apa cara sekalipun agar titisan air kencing itu dapat dihalang dari terus menitis. Kemudian berwuduk.
  • Kedua-duan perkara di atas hendaklah dilakukan selepas masuk waktu solat.
  • Wajib berwuduk bagi setiap solat fardu dan wuduk tersebut boleh digunakan untuk beberapa solat sunat selepas solat fardu.
  • Wajib segera menunaikan solat selepas berwuduk untuk mengurangkan hadas namun tidaklah memudaratkan solat jika dilewatkan solat tersebut disebabkan oleh maslahah seperti mendengar azan dan iqamah, menunggu jemaah yang lain bagi yang solat berjemaah, mencari kiblat, menuju ke masjid, mencari sutrah. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wuduk meskipun dalam tempoh tersebut menitis air kencing.
  • Wajib menggantikan pantyliner atau lain-lain dengan yang baru setiap kali memperbaharui wuduk.

Manakala, berkenaan persoalan batal atau tidak ibadah tawaf lampau, perbuatan memasukkan sedikit kapas/ tisu dalam faraj bagi mengelakkan air kencing daripada keluar adalah dibenarkan bagi seseorang yang daim al-hadath (sentiasa berhadas) dan tidak membatalkan tawaf.

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 292

message user image